Taktik PAS tutup kedai nombor ekor boleh makan diri, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis politik yakin PAS menjadikan isu penutupan kedai nombor ekor dan menyekat penjualan arak sebagai strategi parti untuk raih undi Melayu-Islam menjelang PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2021.

KEPUTUSAN kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS mengharamkan semua kedai nombor ekor dan menyekat penjualan arak di kawasan luar bandar adalah petanda jelas parti itu cuba memenangi semula sokongan masyarakat Melayu-Islam untuk pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Mereka berkata parti Islam itu memutuskan ia tidak akan mendapat sokongan bukan Melayu, dan dengan itu menggandakan usaha untuk memenangi pengundi Melayu.

Bagaimanapun mereka memberitahu The Malaysian Insight, taktik sedemikian mungkin hanya berkesan di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang majoriti pengundinya adalah Melayu.

Di tempat lain, langkah ini yang menyekat hak orang bukan Islam, akan mengakibatkan PAS kehilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tambah mereka. Ia juga akan menakutkan pelabur dari negeri yang diperintah PAS, mereka memberi amaran.

Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar menyifatkan pengumuman Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai larangan pusat perjudian menunjukkan

PAS negeri tidak mengharapkan sokongan daripada bukan Melayu sebaliknya berusaha untuk mengukuhkan kuasa parti di kalangan orang Melayu.

Beliau menambah larangan itu juga satu ironi kerana hanya beberapa hari sebelum itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengecam pihak ekstrem.

“Adalah ironis kerana baru beberapa hari lalu, Hadi berkata Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan untuk mengelakkan negara diperintah oleh puak ekstremis.

“Tetapi sekarang MB Kedah yang merupakan ahli PAS cuba menjadi pelampau dengan menutup kedai ekor 4D, menyekat penjualan arak. Sebelum ini beliau pernah cuba mengharamkan sambutan Thaipusam.

“Apa yang Sanusi lakukan adalah untuk mengukuhkan sokongan daripada orang Melayu. Mereka tidak mempedulikan undi daripada orang bukan Islam,” katanya.

Sanusi menimbulkan kontroversi semalam apabila beliau mengumumkan negeri itu tidak akan memperbaharui lesen perniagaan untuk kedai ekor, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata keputusan itu akan berkuat kuasa mulai tahun depan, sambil menambah langkah itu akan membantu menangani masalah akibat judi.

Tambahnya, mereka di Kedah yang ingin membeli tiket 4D boleh pergi ke Pulau Pinang.

Hisommudin juga berkata Sanusi dan PAS juga bertindak menentang langkah kerajaan persekutuan membenarkan pengeluar wiski Timah itu mengekalkan namanya.

“Berikutan keputusan kerajaan membenarkan Timah menggunakan namanya, PAS Kedah memutuskan terus memainkan isu itu kerana mengetahui orang Melayu tidak akan menyokong idea itu,” katanya.

Menakutkan pelabur

Sementara itu, Dr Oh Ei Sun berkata langkah itu boleh mengukuhkan imej agama PAS dan merangsang potensi penyokong Melayu-Islam untuk keluar mengundi.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu menambah larangan itu bertepatan dengan pilihan raya negeri Melaka.

“Akhirnya, pilihan raya Melaka akan diputuskan mengikut kecenderungan mengundi antara ketiga-tiga gabungan itu oleh pengundi Melayu-Islam.

“Pengundi Cina tidak mungkin mengundi sama ada Barisan Nasional (BN) atau PN, dan empat kerusi majoriti Cina itu boleh diketepikan daripada pengiraan politik oleh BN dan PN.

“PN pasti berfikir bahawa dengan mengenakan larangan di Kedah, ia boleh mengukuhkan imej agamanya dan secara politik ia memperkukuhkan imej agama PAS, menjadikannya lebih menarik dalam pilihan raya di kawasan Melayu-Islam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah itu akan menakutkan pelabur antarabangsa yang mungkin menggambarkan negeri ini sebagai tidak bertoleransi.

“Ia menggambarkan imej negara yang tidak bertoleransi yang pastinya akan membuatkan pelabur asing berfikir dua kali untuk melakukan pelaburan di sini.

“Kedah kini sebuah negeri yang makmur, negeri perindustrian dengan adanya Kulim dan banyak lagi. Tetapi sudah tentu di peringkat antarabangsa ia akan menakutkan pelabur sebagai negeri yang tidak bertoleransi,” tambahnya.

James Chin dari Universiti Tasmania memberitahu The Malaysian Insight yang Sanusi menggunakan seluruh masyarakat bukan Melayu sebagai makanan politiknya untuk menggambarkan dirinya sebagai pemimpin Islam.

Tambahnya, PAS perlu dilihat sebagai parti yang relevan dan tidak terlalu bergantung kepada Bersatu.

“Motifnya adalah untuk terus berkuasa pada PRU15. Mereka tidak takut kehilangan undi bukan Melayu kerana tidak pernah mendapat sokongan daripada mereka.

“Mereka juga perlu menonjolkan diri atau dihimpit antara Umno dan Bersatu. Mereka melihat peluang untuk menang besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu.”

Chin menambah langkah itu mempunyai risikonya.

“Jika orang Melayu di Kedah menolak PAS, ia akan menyebabkan sama ada PN atau BN akan menjadi kerajaan.”

Bukan penyelesaian masalah sosial

Sementara itu, Adun Kedah Tan Kok Yew menyelar keputusan itu, menggesa kerajaan negeri menarik balik idea itu.

Adun Derga daripada DAP itu menegaskan tiada bukti perjudian berlesen adalah punca penderaan rumah tangga.

Beliau menambah walaupun terdapat beberapa kes yang dikaitkan dengan perjudian, kerajaan negeri tidak seharusnya menutup semua pusat perjudian berlesen.

“Ini akan memberi impak negatif kepada pelabur kerana kerajaan persekutuan cakap lain, kerajaan negeri cakap lain.

“Kita jangan lupa yang dana daripada pusat perjudian berlesen ini digunakan untuk membiayai pendidikan dan sukan dan kita kenalinya sebagai loteri kebajikan. Dana datang daripada syarikat ini.

“Saya tidak kata perjudian bukan punca penderaan rumah tangga tetapi ada juga perkara lain yang membawa kepada penderaan seperti e-games,” kata Tan semasa sidang Dewan Undangan Negeri petang tadi di Alor Setar.

Tan menjelaskan dengan menutup kedai perjudian berlesen, ramai orang akan hilang punca pendapatan dan akan menyebabkan pengangguran.

“Penutupan itu tidak masuk akal. Orang ramai akan hilang pendapatan dan menganggur. Akan lebih banyak pengangguran di negeri ini yang juga boleh menyebabkan penderaan keluarga atau lebih teruk membunuh diri.”

“Biarlah mereka yang mempunyai lesen beroperasi dengan aman,” tegasnya. – 15 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen