Naratif Melayu-Islam didalangi Najib punca Pakatan jatuh, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran PH jatuh kerana naratif kerajaan Melayu-Islam yang ideanya didalangi oleh bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail AFP, 11 Mac, 2020.

PENTADBIRAN Pakatan Harapan (PH) jatuh kerana naratif kerajaan Melayu-Islam yang ideanya didalangi oleh bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya diyakini oleh sebahagian pemimpin Bersatu sendiri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, berkata Najib mahu mendapatkan semula kuasa kerana mahkamah akan membuat keputusan perbicaraan jenayahnya tidak lama lagi, lapor Sinar Harian.

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang,” katanya, dalam wawancara dengan akhbar itu.

Menurut Dr Mahathir, Najib dengan kerjasama PAS menekankan soal naratif Melayu-Islam dan mencari sokongan Bersatu untuk menubuhkan sebuah kerajaan Melayu-Islam.

Dalam naratif itu, mereka menganggap DAP – parti komponen dalam PH – sebagai “jahat”, dan Bersatu perlu menyingkirkan parti itu dan bekerjasama dengan Umno.

“Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah.

“Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan beliau sedia letak jawatan apabila sampai masanya dan perkara itu bukan satu masalah, sekali gus menafikan tanggapan bahawa dirinya sendiri punca kemelut politik yang membawa kepada kejatuhan PH pada hujung Februari lalu.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. 

“Sekarang ini mereka dah menang,” katanya.

Kemelut politik tercetus pada 24 Februari lalu apabila Dr Mahathir letak jawatan dan pada hari yang sama, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti keluar dari PH.

Menurut laporan, Dr Mahathir sehari sebelum itu didesak oleh pemimpin kanan Bersatu supaya mengetepikan DAP dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan PAS.

Dr Mahathir enggan kerana tidak mahu menerima Umno secara keseluruhan sekiranya melibatkan pemimpin yang baginya tidak bersih dan tidak berintegriti, dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Katanya, beliau hanya boleh terima pemimpin Umno secara individu tetapi bukan semua pemimpin Umno, berbeza dengan Muhyiddin yang katanya “lebih terbuka”.

Selain Najib, pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah ialah presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor. – 11 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen