HONG Kong bersedia untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa dari Amerika Syarikat, Britain dan tujuh negara lain, kata kerajaan negara itu hari ini.
Negara itu juga mengumumkan kelonggaran beberapa sekatan Covid-19 yang ketat di dunia.
Hab kewangan bergelut untuk mengekalkan dasar sifar-Covid semasa wabak yang didorong oleh Omicron.
Selepas varian yang sangat mudah berjangkit itu mencetuskan gelombang baharu kes pada Januari, pihak berkuasa segera mengenakan larangan penerbangan dari lapan negara yang berisiko tinggi termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta India dan pada Februari menambah yang kesembilan iaitu Nepal.
Tetapi jangkitan meningkat dengan cepat apabila Hong Kong merekodkan lebih sejuta kes dan 5,600 kematian dengan sebahagian besar jumlah kematian dalam kalangan penduduk warga emas yang tidak divaksin.
Pada Isnin Lam berkata mulai 1 April Hong Kong akan menarik semula larangan penerbangan – durujuk sebagai “pemutus litar” untuk sembilan negara.
“Situasi wabak di negara tersebut tidak lebih teruk daripada Hong Kong dan kebanyakan ketibaan tidak mempunyai gejala yang serius. Untuk melanjutkan pemutus litar akan menambah kebimbangan penduduk Hong Kong yang terkandas di sana,” katanya.
Tempoh kuarantin untuk pelawat yang diberi vaksin juga akan dikurangkan kepada tujuh hari di hotel yang ditetapkan diikuti oleh tujuh hari lagi pemantauan di rumah – walaupun Lam tidak menyatakan tarikh perubahan itu akan bermula.
Pada masa ini penduduk Hong Kong yang pulang dari kebanyakan destinasi berdepan tempoh kuarantin selama dua minggu di hotel mahal.
Lam juga mengumumkan bahawa mulai 19 April tadika, sekolah rendah dan sekolah antarabangsa akan menyambung semula sesi pembelajaran bersemuka.
Bermula 21 April restoran boleh terus dibuka selepas jam 6 petang untuk perkhidmatan makan di restoran manakala perhimpunan awam boleh melibatkan empat orang. – Bernama, 21 Mac, 2022.
Komen