Philippine Airlines bebas daripada muflis di AS


Syarikat penerbangan Filipina itu memfailkan kemuflisan di AS pada September lepas, memohon pelepasan daripada pemiutangnya dalam cubaan terus bertahan ketika berdepan krisis pengangkutan udara global dicetuskan pandemik Covid-19. – Gambar AFP, 1 Januari, 2022.

PHILIPPINE Airlines berkata syarikat itu bebas daripada status muflis selepas mahkamah AS meluluskan pelannya untuk pengurangan hutang sehingga AS$2 bilion dan mendapatkan modal tambahan.

Syarikat penerbangan Filipina itu memfailkan kemuflisan di AS pada September lepas, memohon pelepasan daripada pemiutangnya dalam cubaan terus bertahan ketika berdepan krisis pengangkutan udara global dicetuskan pandemik Covid-19.

Pelan organisasi semula yang diluluskan mahkamah termasuklah pengurangan hutang AS$2 bilion dan tambahan aset kecairan berjumlah AS$505 juta daripada pemegang saham utamanya, kata PAL dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ia juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan sehingga AS$150 juta pembiayaan tambahan daripada pelabur baharu.

“PAL telah menyelaraskan operasinya dengan mengorganisasi semula penerbangan dan kini lebih bersedia untuk pemodalan bagi pertumbuhan masa hadapan,” tambah syarikat itu.

Penerbangan udara di Filipina jatuh mendadak sehingga lebih 75% pada 2020 disebabkan sekatan penerbangan dikenakan untuk mengekang penularan Covid-19, menurut data kerajaan.

Daripada 60 juta penumpang domestik dan antarabangsa pada 2019, jumlah itu jatuh mendadak kepada hanya 13 juta pada 2020.

PAL pada September berkata ia membatalkan lebih 80,000 penerbangan, kerugian lebih AS$2 bilion perolehan dan memberhentikan lebih 2,000 orang pekerjanya.

Memandangkan sempadan mula dibuka dan sekatan perjalanan dilonggarkan, syarikat itu berkata ia akan menyambung semula penerbangan termasuklah ke bandar utama di China dan Australia. – AFP, 1 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen