KANADA menutup ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan Rusia sebagai protes terhadap pencerobohan negara itu ke atas Ukraine, umum Ottawa semalam.
“Kami akan sekat Rusia atas serangan tanpa provokasi terhadap Ukraine,” kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra di Twitter.
Penutupan itu berkuat kuasa serta merta menyelaraskan Kanada dengan sebahagian besar negara Eropah.
Walaupun tiada penerbangan terus antara lapangan terbang Kanada dan Rusia, keputusan negara kedua terbesar di dunia boleh merumitkan penerbangan oleh syarikat penerbangan Rusia Aeroflot ke Amerika Syarikat (AS) atau dari AS serta ke negara selatan lain.
Mana-mana penerbangan yang dimiliki, disewa atau digunakan oleh kepentingan Rusia termasuk penerbangan peribadi kini dilarang dari memasuki ruang udara Kanada, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Valerie Glazer kepada AFP menerusi e-mel.
Senarai negara Eropah yang menutup ruang udara mereka kepada syarikat penerbangan Rusia sebagai tindak balas kepada pencerobohan Ukraine termasuk Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali, Belgium, Austria, Belanda dan Sweden.
Britain menghalang penerbangan Aeroflot pada Khamis.
Tiada penerbangan dari Rusia dilihat semalam yang tiba di lapangan terbang utama AS di Washington, Baltimore, New York, Los Angeles dan Chicago.
Delta Airlines pada Jumaat menggantung pengaturan perkongsian kod dengan Aeroflot.
Tetapi Jabatan Pengangkutan AS masih belum mengumumkan keputusan mengenai pengharaman penerbangan Rusia. – AFP, 28 Februari, 2022.
Komen