SYARIKAT penerbangan dan lapangan terbang menggesa langkah pandemik ditamatkan bagi penerbangan domestik Eropah kerana kebanyakan negara di rantau ini mula melonggarkan keperluan untuk mengemukakan bukti vaksinasi dan pemakaian pelitup muka.
“Covid-19, dan khususnya varian Omicron, kini merebak di seluruh Eropah, dan imuniti penduduk berada pada tahap sedemikian sehingga risiko kemasukan ke hospital atau kematian telah berkurangan secara mendadak, terutamanya bagi orang yang telah diberi vaksin,” kata kenyataan bersama ACI Europe dan IATA.
ACI Europe, yang mewakili kira-kira 500 lapangan terbang di rantau ini dan merupakan persatuan perdagangan teratas untuk syarikat penerbangan, menyatakan bahawa banyak negara kini telah membatalkan syarat untuk memakai pelitup muka di ruang awam atau mengemukakan bukti vaksinasi untuk memasuki acara sosial.
“Memandangkan negara-negara Eropah membuka dan menghapuskan sekatan, adalah logik untuk menghapuskan sekatan sama daripada pengangkutan udara,” kata mereka.
Dua tahun selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik global, badan perdagangan itu menyeru untuk menamatkan keperluan untuk mengemukakan ujian Covid negatif dan menyerahkan borang pengesan, serta memakai pelitup muka dalam penerbangan antara negara Eropah yang tidak perlu lagi memakainya di tempat awam.– AFP, 11 Mac, 2022.
Komen