2,300 penerbangan batal kerana Omicron 


Menurut laman web Flightaware.com lebih 1,400 pembatalan diumumkan untuk hari Sabtu iaitu Hari Krismas.– Gambar EPA, 25 Disember, 2021.

LEBIH 2,300 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia manakala ribuan lagi tertunda berikutan penularan varian Omicron.

Menurut laman web Flightaware.com sejumlah 2,325 penerbangan telah dibatalkan di seluruh dunia pada hari Jumaat, termasuk 616 penerbangan yang berasal dari atau menuju ke lapangan terbang Amerika Syarikat, dan lebih 8,000 tertunda.

Lebih 1,400 pembatalan diumumkan untuk hari Sabtu iaitu Hari Krismas, lapor laman web itu.

Juruterbang, atendan penerbangan dan kakitangan lain cuti sakit atau terpaksa dikuarantin selepas terdedah kepada Covid, memaksa syarikat penerbangan Lufthansa, Delta, United Airlines dan banyak syarikat penerbangan lain membatalkan penerbangan.

Menurut Flightaware, United membatalkan lebih daripada 185 penerbangan pada hari Jumaat, atau 10 peratus daripada yang dijadualkan.

“Peningkatan kes Omicron di seluruh negara minggu ini telah memberi kesan langsung kepada kru penerbangan kami dan orang yang menjalankan operasi kami,” kata United dalam satu kenyataan.

“Akibatnya, kami terpaksa membatalkan beberapa penerbangan dan memaklumkan pelanggan yang terjejas sebelum mereka datang ke lapangan terbang,” kata syarikat penerbangan itu, sambil menambah pihaknya sedang berusaha untuk membuat tempahan semula kepada penumpang.

Delta turut membatalkan sekurang-kurangnya 166 penerbangan, mengatakan ia telah “kehabisan semua pilihan dan sumber—termasuk laluan semula dan penggantian pesawat dan kru untuk menampung penerbangan yang dijadualkan.”

“Kami memohon maaf kepada pelanggan kami atas kelewatan dalam rancangan perjalanan percutian mereka,” kata syarikat itu.

Sebelas penerbangan Alaska Airlines telah ditangguhkan, selepas pekerja mengatakan mereka berpotensi terdedah kepada Covid-19 dan terpaksa mengasingkan diri dalam kuarantin. – AFP, 25 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen