KWP tidak akan berkompromi peniaga sewa lesen premis kepada warga asing


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga di Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang menyewakan lesen premis perniagaan kepada warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga di Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur yang menyewakan lesen premis perniagaan mereka kepada warga asing.

Timbalan menterinya Jalaluddin Alias berkata tindakan penguatkuasaan boleh diambil dengan menamatkan serta-merta lesen premis perniagaan mereka dan disenaraihitamkan daripada memohon lesen perniagaan baharu.

“Saya sendiri dapat beberapa laporan berkaitan penglibatan warga asing yang tidak mempunyai permit kembali berleluasa berniaga di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di PHS.

“Saya sudah meminta Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melihat secara terperinci perkara ini dan tindakan akan dilakukan serta-merta,” katanya kepada Bernama.

Jalaluddin berkata demikian bagi mengulas laporan Bernama hari ini mengenai kumpulan warga asing yang kembali aktif menjalankan perniagaan secara haram di sekitar PHS dan Pasar Borong Kuala Lumpur meskipun kawasan itu pernah digempur beberapa kali oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah membekukan permohonan lesen baharu bagi premis perniagaan di sekitar pusat bandar utara itu bagi mengawal aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dijalankan warga asing manakala surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada pemegang lesen yang mengambil pembantu atau pekerja bukan warganegara tanpa permit kerja sah.

Sementara itu, DBKL memaklumkan sebanyak 4,636 notis kompaun dikeluarkan kepada majikan yang menggaji pekerja asing termasuk 1,289 notis kompaun di Pasar Borong Kuala Lumpur dari Januari hingga Disember tahun lepas. – Bernama, 21 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen