Putrajaya lulus cuti umum tambahan Wilayah Persekutuan, kata Shahidan


Chan Kok Leong

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata Putrajaya memutuskan untuk tetapkan 3 Disember sebagai cuti umum selepas Kuala Lumpur City FC menewaskan Johor Darul Takzim FC 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia Selasa lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

PUTRAJAYA telah meluluskan cuti umum tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kata Shahidan Kassim, susulan kritikan pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pihaknya tidak umum cuti mengejut seperti dibuat negeri lain yang menang Piala Malaysia.

“Tetapi kami rujuk dahulu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan ketua setiausaha negara,” kata ahli Parlimen Arau itu kepada Dewan Rakyat semasa ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa hari ini.

Shahidan berkata Putrajaya memutuskan untuk tetapkan 3 Disember sebagai cuti umum selepas Kuala Lumpur City FC menewaskan Johor Darul Takzim FC 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Selasa.

Menteri itu berkata cuti umum tersebut diberikan mengikut Seksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan 1951.

“Bagaimanapun bank akan beroperasi seperti biasa kerana Kementerian Kewangan berkata ia akan ada kesan. Bursa Saham Kuala Lumpur akan ditutup,” kata Shahidan.

Shahidan berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya adakah ekonomi akan terjejas akibat cuti umum tambahan itu.

Awal hari ini ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming merungut keputusan tersebut yang menurutnya adalah tidakan yang tidak bertanggungjawab dari segi politik.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pengumuman mengejut itu akan ganggu ekonomi dan kehidupan sosial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ong berkata pengumuman secara tiba-tiba itu akan menyebabkan perniagaan rugi jutaan ringgit.

“Sebanyak 90 peratus daripada RM216 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur disumbangkan sektor perkhidmatan.

“Kuala Lumpur menjadi nadi sektor perkhidmatan kewangan negara, dan jadi menjadi pusat bagi kebanyakan pejabat perunding perakaunan dan cukai serta syarikat multinasional.

Banyak syarikat mungkin terpaksa membayar upah kerja lebih masa bagi memastikan perkhidmatan mereka terus berjalan lancar semasa cuti umum yang tidak dirancang ini,” kata Ong dalam satu kenyataan.

Cuti ini juga boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran dan menyebabkan kerugian sehingga RM400 juta, sesuatu yang tidak mampu dimiliki negara ketika masih pulih daripada pandemik Covid-19, tambah bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Sementara itu, Shahidan tidak menjawab soalan sama ada terdapat garis panduan baharu bagi penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina.

“DBKL kekalkan garis panduan yang sama seperti yang diumumkan pada 1 November.

“Kami telah bertemu pihak berkepentingan dan jika permohonan mereka ditolak, mereka boleh merayu kepada Lembaga Perlesenan Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” kata Shahidan.

Katanya, pihak berkuasa akan beri tumpuan kepada penjualan arak terlarang.

Selepas mengambil alih kerajaan tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional telah mengharamkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina. Premis-premis ini cuma boleh menjual bir dari 7 pagi hingga 9 malam.

Keputusan kontroversi tersebut telah dikekalkan oleh kerajaan baharu Barisan Nasional yang mengambil alih pada Ogos.

Dewan Rakyat telah meluluskan sejumlah RM670.8 juta untuk kementerian Wilayah Persekutuan untuk tahun depan. – 2 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen