CUTI umum tambahan esok sempena kejayaan pasukan KL City FC merangkul Piala Malaysia akan menganggu aktiviti ekonomi dan sosial di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.
Menteri Wilayah Shahidan Kassim pada satu sidang media semalam umum cuti khas peristiwa bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan esok sebagai perhargaan kepada semua penyokong KL City FC yang menewaskan pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) pada Selasa.
Ong berkata pengumuman secara tiba-tiba itu akan menyebabkan perniagaan rugi jutaan ringgit.
“Sebanyak 90% daripada RM216 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur disumbangkan sektor perkhidmatan. Kuala Lumpur menjadi nadi sektor perkhidmatan kewangan negara, dan jadi menjadi pusat bagi kebanyakan pejabat perunding perakaunan dan cukai serta syarikat multinasional.
“Banyak syarikat mungkin terpaksa membayar upah kerja lebih masa bagi memastikan perkhidmatan mereka terus berjalan lancar semasa cuti umum yang tidak dirancang ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Cuti ini juga boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran dan menyebabkan kerugian sehingga RM400 juta, tambah bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Jelasnya, susulan cuti di tiga wilayah persekutuan itu juga, banyak tempahan persidangan dan sesi latihan mungkin terpaksa ditangguh, mesyuarat secara semuka dibatalkan danb menjejaskan pendapatan kedai yang bergantung kepada pelanggan yang bekerja di pejabat.
“Urusan syarikat dengan pejabat kerajaan di Putrajaya juga tertangguh, mengakibatkan rugi masa dan produktiviti.
“Cuti yang tidak dirancang ini secara tidak langsung akan mengganggu aktiviti sosial. Mungkin ada ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Selangor, tetapi sekarang terpaksa buat perubahan saat akhir kerana anak mereka tak bersekolah esok,” kata Ong.
Begitu juga dengan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang terpaksa dijadual semula, ujarnya.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada Shahidan membuat pertimbangan mengenai kesan ke atas ekonomi dan aktiviti lain sebelum mengumumkan cuti tambahan semalam. – 2 Disember, 2021.
Komen