Pengecualian cukai pelancongan bantu kebangkitan industri, kata menteri


Kementerian itu menerima peruntukan sebanyak RM414 juta bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

PENGECUALIAN cukai pelancongan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini menerusi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam akan dapat membantu memulihkan industri pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Menterinya Shahidan Kassim berkata pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di semua Wilayah Persekutuan turut membantu industri itu kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Meskipun Kementerian Wilayah Persekutuan tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan daripada kerajaan persekutuan, namun kami tetap terus komited meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Bajet 2022, Shahidan berkata, kementerian itu menerima peruntukan sebanyak RM414 juta bagi tujuan pembangunan di Wilayah Persekutuan yang merangkumi projek Perkongsian Awam-Persendirian (PPP) dan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), membaik pulih jalan dan jambatan, baik pulih sungai, sewerage non-river (SWR) dan River of Life (ROL) atau Sungai Nadi Kehidupan, selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak RM256 juta pula sebagai peruntukan mengurus termasuk bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan, pengurusan, selain bagi program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan dan naik taraf Dataran Pahlawan Negara, katanya. 

Mengenai program Community Feeding kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shahidan berkata, kementerian itu dan agensi di bawahnya akan memastikan peruntukan yang disediakan itu bakal memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan dan meringankan beban keluarga yang terkesan. – Bernama, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen