RM403,000 disalur kepada 403 keluarga bencana di KL, kata Shahidan


Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim berkata bantuan bencana fasa pertama akan membolehkan setiap keluarga menerima RM1,000 sebelum bantuan seterusnya diberikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

KERAJAAN memperuntukkan RM403,000 bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diagihkan kepada 403 keluarga yang terjejas dengan bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran baru-baru ini.

Menterinya Dr Shahidan Kassim berkata bantuan fasa pertama itu akan membolehkan setiap keluarga menerima RM1,000 sebelum bantuan-bantuan seterusnya diberikan.

“Mereka (mangsa) tidak perlu susah pergi ke bank, kita selesaikan pemberian wang tunai untuk kesemua penerima hari ini juga,” katanya kepada pemberita semasa program penyampaian BWI kepada mangsa tanah runtuh Kampung Palimbayan, Sungai Penchala di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Sungai Penchala, hari ini.

BWI itu membabitkan 107 keluarga bencana tanah runtuh, 285 keluarga adalah mangsa banjir dari Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Batu Bata, Kampung Baru dan 11 keluarga mangsa insiden kebakaran di Perumahan Awam (PA) Sri Johor, Cheras.

Mengenai penempatan baharu mangsa tanah runtuh, Shahidan berkata mereka akan dipindahkan secepat mungkin ke PA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terdekat sebelum sesi persekolahan bermula. – Bernama, 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen