Korea Selatan siap siaga polisi minimumkan kesan krisis Ukraine


Presiden Moon Jae In semalam mengarahkan pegawai kerajaannya mengambil langkah "segera" sebagai tindak balas terhadap situasi Ukraine ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengenai isu keselamatan ekonomi. – Gambar EPA, 15 Februari, 2022.

KOREA Selatan siap siaga pelbagai dasar bagi meminimumkan kejatuhan ekonomi akibat krisis Ukraine dan mengurangkan turun naik pasaran berikutan ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia semakin memuncak di rantau itu.

Kerajaan merancang melaksanakan langkah luar jangka jika Rusia menyerang Ukraine dan AS serta sekutunya bertindak mengenakan sekatan ekonomi, menurut agensi berita Yonhap memetik Timbalan Menteri Kewangan I, Lee Eog Weon.

“Kerajaan merancang mengguna pakai pelbagai dasar bagi menghalang situasi Ukraine menjejaskan ekonomi dan meminimumkan turun naik pasaran,” kata Lee pada mesyuarat pasukan petugas kerajaan mengenai krisis Ukraine.

Presiden Moon Jae In semalam mengarahkan pegawai kerajaannya mengambil langkah “segera” sebagai tindak balas terhadap situasi Ukraine ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet mengenai isu keselamatan ekonomi.

Pasaran kewangan Korea Selatan menyaksikan turun naik berikutan situasi di Ukraine dan kemungkinan Rizab Persekutuan AS mengambil langkah mempercepatkan sekatan kewangan. β€“ Bernama, 15 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen