Korea Selatan tak cadang boikot Sukan Olimpik Beijing


Presiden Moon Jae-in berkata Korea Selatan mahu mengekalkan hubungan baik dengan China. – Gambar AFP, 13 Disember, 2021.

KOREA Selatan tidak akan menyertai boikot diplomatik ke atas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, kata presidennya Moon Jae-in hari ini, atas alasan negara itu perlu menjalin hubungan baik dengan China.

Moon yang ditemui pemberita di Canberra sempena lawatan rasmi ke Australia berkata beliau tidak bercadang untuk memboikot temasya sukan itu sebagai bantahan terhadap penyalahgunaan China terhadap hak asasi manusia.

“Kami tidak terima permintaan daripada mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat untuk turut serta memboikot,” katanya.

Beberapa negara seperti Australia, Britain dan Kanada menyertai Amerika Syarikat (AS) yang minggu lalu mengumumkan boikot diplomatik Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

AS berkata keputusan itu dibuat atas dakwaa China melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang.

AS bagaimanapun berkata ia tetap akan menghantar atletnya ke temasya sukan berkenaan.

Kementerian Luar China kemudian menegaskan akan mengambil tindak balas tegas atas tindakan boikot itu.

Moon dalam pada itu menegaskan Korea Selatan mahu mempromosikan wilayah Pasifik yang terbuka dan bebas, di samping mengambil kira peranan China dalam usaha membawa keamanan kepada Semenanjung Korea.

Katanya, hubungan baik dengan China perlu untuk menjadikan Semenanjung Korea bebas nuklear. – AFP, 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen