Sidang kemuncak Moon-Biden diharap bantu proses pelucutan senjata nuklear


Pejabat Presiden Korea Selatan mengumumkan, Moon Jae-in dijadual mengadakan sidang kemuncak pertama dengan Presiden Joe Biden di Washington D.C. pada pertengahan Mei. – Gambar EPA, 15 April, 2021.

KEMENTERIAN Perpaduan Korea Selatan pada Jumaat menyuarakan harapan sidang kemuncak antara Presiden Moon Jae-in dan Presiden Joe Biden akan membantu meningkatkan hubungan antara Korea selain memperkukuh usaha pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea, lapor Yonhap.

Terdahulu pejabat presiden mengumumkan, Moon dijadual mengadakan sidang kemuncak pertama dengan Biden di Washington D.C. pada pertengahan Mei.

“Kami berharap sidang keumuncak itu nanti membantu membina kesepakatan yang kukuh  antara pemimpin kedua-dua negara mengenai pelucutan senjata nuklear dan membawa keamanan di Semenanjung Korea, serta meningkatkan hubungan antara Korea,” kata wakil jurucakap di kementerian  Cha Deok-cheol, dalam satu taklimat media. 

Semakan semula mengenai dasar Korea Utara oleh pentadbiran Biden kini di fasa akhir.

Rundingan nuklear antara Washington dan Pyongyang menemui jalan buntu selepas sidang kemuncak 2019 di Hanoi yang berakhir tanpa kesepakatan.

Kedua-dua pihak masih berbalah mengenai sejauh mana Pyongyang perlu melaksanakan proses pelucutan senjata bagi merintis jalan untuk Washington menawarkan konsesi. – Bernama, 15 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen