POLIS mengklasifikasikan laporan terhadap wartawan penyiasat Lalitha Kunaratnam kerana didakwa berbohong kepada mahkamah sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan ketika dihubunginya berkata laporan itu tiada kaitan dengan kes melibatkan Lalitha yang disiasat oleh unit siasatan jenayah terkelas Bukit Aman.
Laporan yang mendakwa Lalitha berbohong kepada mahkamah telah dibuat di balai polis daerah Sentul pada 9 Februari.
Pemberi maklumat yang mendedahkan pegangan saham korporat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki didakwa membuat tuntutan palsu berhubung statusnya sebagai penyelidik di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).
Dakwaan itu adalah Lalitha telah berbohong apabila beliau menulis dalam pernyataan pembelaannya sebagai tindak balas kepada saman fitnah yang difailkan oleh Azam terhadapnya.
Azam menyamannya berhubung artikel yang ditulisnya berhubung pemilikan saham korporat dan kaitan perniagaannya melalui ahli keluarga.
Dalam penjelasannya, C4 berkata Lalitha telah berhenti menjadi pekerja kumpulan masyarakat sivil itu sejak Disember 2020 dan telah menjalankan tugasnya sebagai wartawan bebas dan perunding.
Kenyataan pembelaan Lalitha sebagai jawapan kepada tuntutan mahkamah Azam dibuat pada 3 Februari.
Azam telah memulakan prosiding undang-undang awal bulan lalu, di tengah-tengah desakan untuk bersihkan namanya atau berundur daripada jawatan tertinggi SPRM selepas dakwaan Lalitha berhubung pemilikan saham korporatnya.
Lalitha berdepan siasatan lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kanun keseksaan kerana menerbitkan kenyataan “membawa kepada kerosakan awam”.
Dua artikel yang ditulisnya mengenai Azam bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?, disiarkan secara dalam talian tahun lalu.
Kandungan artikelnya juga digunakan oleh bekas ahli panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM, Dr Edmund Terence Gomez, dalam usaha meminta pihak atasannya mengambil tindakan berhubung dakwaan terhadap Azam demi menjaga integriti SPRM.
Dalam sidang akhbar pada 5 Januari, Azam menafikan sebarang salah laku, mengatakan bahawa adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015 dan 2016, yang mana beliau adalah pengarah penyiasatan SPRM ketika itu.
Hasil siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap Azam ialah beliau mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangannya, membersihkannya daripada sebarang salah laku dari sudut undang-undang.
Bagaimanapun gesaan agar Azam meletak jawatan masih berterusan daripada masyarakat sivil dan pembangkang, kerana beliau dilihat telah berbohong kepada orang ramai mengenai penggunaan akaun dagangannya oleh adiknya.– 11 Februari, 2022.
Komen