Henti ganggu wartawan dalam kes Azam, kata pembangkang 


Sekumpulan lebih 20 ahli Parlimen mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dicutikan semasa disiasat kerana ia menyamai bekas perdana menteri Najib Razak yang berpegang teguh pada kuasa semasa terpalit skandal 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

PUTRAJAYA perlu berhenti mengganggu wartawan yang mendedahkan salah laku pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata ahli Parlimen pembangkang hari ini.

“Daripada membazirkan sumber dan masa polis yang berharga untuk orang ramai bersuara demi kepentingan awam mengenai isu ini. Pihak berkuasa harus fokus untuk menyiasat Azam Baki secara menyeluruh dan bukannya mempercayai kata-katanya tanpa bukti yang betul.

“Kerajaan harus bekerjasama dengan pemberi maklumat yang telah mengeluarkan bukti dan mengiktiraf sumbangan mereka dan bukannya melayan mereka seperti pesalah,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan 21 ahli Parlimen itu terdiri daripada Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Teresa Kok (Seputeh), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Sim the Tzin (Bayan Baru), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Akmal Nasir (Johor Bahru), Salahuddin Ayub (Pulai), Amin Ahmad (Kangar), Muhamad Bakhtiar Wan Chin (Balik Pulau), Natrah Ismail (Sekijang), Cha Kee Chin (Rasiah), June Leow (Hulu Selangor), Ngeh Koo Ham (Beruas), Thomas Su Keong Siong (Kampar), Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Mujahid Yusoff Rawa (Parit Buntar).

Kumpulan itu merujuk kepada beberapa siasatan polis terhadap wartawan Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan bahawa Azam memperoleh 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Berhad pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Berhad pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham dalam Gets Global tahun berikutnya, dan beliau mungkin tidak mengisytiharkannya.

Sejak itu beliau telah menerima saman fitnah yang difailkan oleh Azam menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka untuk artikelnya.

Azam menafikan sebarang salah laku, mengatakan bahawa saham itu dibeli menggunakan akaunnya oleh adiknya. Panel penasihat SPRM juga telah membebaskannya daripada salah laku.

Semalam, Azam berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan dan hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecatnya.

Ahli Parlimen berkata tindakan Azam yang berpegang teguh pada kuasa menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik.

“Beliau berpegang teguh pada kuasa dan enggan mengambil cuti ketika siasatan sedang dijalankan.

“Ini sama seperti tindakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum 2018 apabila beliau terpalit dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Azam sebaliknya perlu bercuti atau digantung sementara menunggu siasatan bebas, kata mereka.

“Kami menyokong penuh saranan Majlis Presiden Pakatan Harapan kepada kerajaan untuk menggantung Azam serta-merta supaya ada siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga perlu mengambil serius pandangan 50 kumpulan masyarakat sivil termasuk Suaram dan Patriot untuk memulakan siasatan bebas terhadap Azam.”

Siasatan harus dijalankan oleh Parlimen, tambah mereka. – 13 Januari, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen