KETUA pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki telah memfailkan saman fitnah terhadap wartawan Lalitha Kunaratnam, menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka berhubung dua artikel yang ditulis tahun lepas.
Beliau juga memohon injunksi menghalang Lalitha atau orang lain yang dikaitkan dengannya mengulangi dakwaan tentang pemilikan saham dalam syarikat senarai awam.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas Lalitha gagal menjawab surat tuntutan yang dikeluarkan pada 6 Januari, kata peguam Azam Baki, Megat Abdul Munir dalam satu kenyataan.
Megat Abdul berkata saman itu berkaitan artikel yang diterbitkan dan disiarkan semula oleh Lalitha dalam Independent News Service (INS) pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lepas.
“Daripada membalas surat tuntutan anak guam kami yang dikeluarkan pada 6 Januari, beliau melalui peguamnya mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan di akaun Twitternya, di mana beliau mendakwa untuk menyokong penerbitan dan penerbitan semula kandungan yang anak guam kami anggap sebagai fitnah.
“Oleh itu, anak guam kami memfailkan saman ini sebelum tamat tempoh 14 hari dari tarikh surat tuntutan bagi menjaga nama baik, reputasi dan kedudukan profesionalnya,” katanya.
Tambah Megat Abdul, Azam Baki juga sedang mendapatkan pelepasan yang sewajarnya daripada mahkamah.
Beliau juga berkata saman itu juga akan memberi Lalitha hak yang sama dan peluang untuk mewajarkan tuntutannya di mahkamah dan bukan hanya terlibat dalam perbicaraan oleh media.
“Seperti dinasihatkan oleh kami, anak guam kami tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara ini dan beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap mahkamah Malaysia untuk mendengar dan memutuskan perkara ini dengan sewajarnya.
“Akhir sekali, anak guam kami ingin menjelaskan komitmennya yang tidak berbelah bahagi bahawa SPRM akan sentiasa melindungi semua pemberi maklumat yang berada dalam lingkungan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.”
Azam Baki mendapat perhatian meluas selepas artikel Lalitha mendakwa beliau memperoleh 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Berhad pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Berhad pada tahun sama dan 1.02 juta saham dalam Gets Global pada berikutnya, selain kemungkinan beliau tidak mengisytiharkannya.
Azam Baki bagaimanapun menafikan sebarang salah laku, berkata saham itu dibeli adiknya menggunakan akaunnya.
Susulan itu, di tengah-tengah desakan supaya tindakan diambil terhadapnya, polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata mereka sedang menyiasat Azam Baki berhubung pemilikan saham korporatnya.
Azam Baki bagaimanapun mempertahankan tindakannya, berkata yang beliau tidak bersalah tetapi akan membantu siasatan.
Dalam pada itu Azam Baki juga berkata tidak ada sebab untuknya berundur dari jawatan tertinggi SPRM. – 12 Januari, 2022.
Komen