Polis siasat pemberi maklumat kes Azam Baki selama 3 jam


Noel Achariam

Wartawan Lalitha Kunaratnam (kiri) bersama peguamnya Manjeet Singh Dhillon (kanan) ketika ditemui wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas disoal siasat lebih tiga jam berhubung rencana pemilikan saham ketua agensi antirasuah Azam Baki. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Februari, 2022.

WARTAWAN Lalitha Kunaratnam hari ini disoal siasat lebih tiga jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dua rencana ditulisnya mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Lalitha disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Seksyen 233 merujuk kepada perkongsian kandungan yang menyinggung perasaan dan mengancam, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 505 Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan yang membawa kepada khianat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lalitha berkata polis telah mengajukan 83 soalan dalam pertemuan yang berlangsung lebih tiga jam hari ini.

“Laporan polis itu dibuat oleh penolong kanan pesuruhjaya SPRM pada 7 Januari. Ini sehari selepas saya dapat surat (daripada Azam Baki) pada 6 Januari.

“Semua (soalan) saya jawab sebaik mungkin,” kata Lalitha kepada pemberita di Bukit Aman.

Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Lalitha berkata:

“Biar polis siasat ikut undang-undang. Maksud saya, undang-undang tetap undang-undang. Ia akan disiasat dengan betul. Saya sangat yakin polis akan jalankan tugas dengan baik.”

Beliau juga berkata anak guamnya menjawab semua soalan dengan baik dan menafikan Lalitha terkejut dengan pengalaman tersebut.

“Tidak, beliau tidak goyah. Beliau menjawab soalan dengan baik dan lengkap. Beliau tidak goyah. Beliau penat.

“Saya rasa anda faham yang tiga jam setengah soal siasat di hadapan polis itu terlalu lama,” kata Manjeet.

Pada 12 Januari, peguam Azam Baki telah memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha, menuntut ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf secara terbuka.

Azam Baki turut menuntut injunksi bagi menghalang Lalitha atau orang lain yang dikaitkan dengannya daripada mengulangi dakwaan mengenai pembelian saham atas namanya dalam syarikat senaraian awam.

Azam Baki disiasat kerana memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016 ketika menjadi ketua unit siasatan SPRM.

Timbul persoalan adakah beliau telah mengisytiharkan saham itu seperti yang dikehendaki oleh seorang penjawat awam selain bagaimana beliau memperoleh wang untuk membeli saham tersebut.

Azam Baki telah menjelaskan adiknya yang menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham itu, yang bermaksud mereka boleh melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Lembaga penasihat SPRM telah menerima penjelasan Azam Baki itu dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.

SC berkata ia tidak menemui bukti dagangan proksi oleh Azam Baki kerana beliau mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangan saham yang beliau dakwa adiknya guna.

Azam Baki tidak melanggar Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, kata SC.

SC mula meneliti isu itu selepas Azam Baki secara terbuka mengakui dalam sidang akhbar yang adiknya, Nasir Baki, telah menggunakan akaun dagangan sahamnya — dengan kebenarannya — untuk membeli berjuta-juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015. – 3 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen