Bukit Aman panggil pemberi maklumat isu Azam Baki


LALITHA Kunaratnam, penulis yang mendedahkan skandal perdagangan saham Azam Baki, telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk diambil keterangan.

Menurut FMT, Lalitha berkata beliau menerima panggilan daripada polis pagi ini memaklumkan beliau dikehendaki hadir ke ibu pejabat polis pada 2.30 petang, 4 Februari.

Sebelum ini, Lalitha pernah menulis dua artikel membabitkan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memiliki saham bernilai jutaan ringgit.

Artikelnya bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go?” disiarkan tahun lepas.

Isu mengenai pegangan saham Azam telah dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, yang mempersoalkan sama ada Azam telah mengisytiharkan dakwaan pemilikan 2.15 juta dalam Excel Force MSC Bhd dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015, dan 1.02 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun berikutnya.

Pada 27 Disember, ahli panel pengawasan dalaman SPRM lain, Dr Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatannya sebagai membantah kekurangan tindakan terhadap beberapa siri e-mel yang dihantarnya kepada ketua panel berkenaan berhubung pegangan saham Azam.

Sebagai maklum balas, Azam berkata beliau telah memaklumkan kepada pihak atasan mengenai pembelian saham pada 2015, dan mereka tidak menimbulkan kebimbangan.– 31 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen