J/k Parlimen juga perlu panggil Lalitha, pegawai SPRM, kata kumpulan


Selain ketua agensi antirasuah Azam Baki (gambar) Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga perlu memanggil dan menyoal wartawan Lalitha Kunaratnam serta bekas pemimpin SPRM lain bagi mendapat penjelasan lebih jitu untuk disemak dan diimbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2022.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi yang akan menyiasat pemilikan saham ketua agensi antirasuah Azam Baki perlu menjemput saksi lain untuk siasatannya, kata kumpulan masyarakat sivil hari ini.

Kumpulan itu berkata dengan ini PSC boleh mendapat maklumat lebih terperinci dan menguji serta mengimbangi sekali gus mencapai kebenaran berhubung kes ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Tidak cukup jika sekadar ketua SPRM Azam Baki sahaja dipanggil untuk beri penjelasan kepada PSC.

“PSC juga perlu panggil semua pihak yang terlibat dalam isu ini, termasuk Lalitha Kunaratnam yang membuat laporan dan bekas pemimpin SPRM,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan yang meliputi Bersih, Reform, Engage, Undi18, Ideas, Wisdom Foundation dan Bait Al-Amanah itu berkata demikian merujuk kepada mesyuarat PSC 19 Januari ini yang mana Azam Baki dipanggil untuk hadir.

Kumpulan itu turut berkata PSC perlu umum terma rujukan untuk siasatan yang akan dijalankannya.

“Kami juga menggesa agar sesi pendengaran dijalankan secara terbuka dan disiarkan secara langsung di saluran rasmi Parlimen dan kerajaan agar keyakinan rakyat terhadap institusi Parlimen untuk bertindak sebagai semak dan imbang yang berkesan terhadap Eksekutif kekal utuh.

“Kami menggesa laporan PSC mengenai siasatan ini dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebaik sahaja ia selesai,” tambah kumpulan itu.

Azam Baki menjadi tajuk utama media sejak beberapa minggu ini selepas dua artikel Lalitha tentang skandal SPRM itu diketahui umum.

Lalitha melaporkan Azam Baki memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016, semasa beliau menjadi ketua unit siasatan SPRM.

Kebimbangan timbul sama ada beliau telah mengisytiharkan saham itu seperti yang dikehendaki selaim sumber dana untuk membeli saham tersebut.

Azam Baki menjelaskan adiknya telah membeli saham itu menggunakan akaun dagangannya, yang bermakna mereka mungkin melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti.

Lembaga penasihat SPRM, panel pengawasan dalaman, berkata minggu lepas ia menerima penjelasan Azam Baki dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.

Ini mencetuskan lebih banyak kemarahan orang ramai, menimbulkan gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan siasatan bebas terhadap kes itu dijalankan segera.

Suruhanjaya Sekuriti berkata ia akan menyiasat Azam Baki.

Azam Baki menafikan sebarang salah laku dan telah memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha. – 14 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen