DBP siasat penerima anugerah plagiat karya sastera


DBP menegaskan pendirian menolak sebarang unsur plagiat dalam semua penerbitan. – Gambar Facebook, 19 November, 2021.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) menyiasat perbuatan seorang penyair terkenal tempatan yang didakwa memplagiat karya ternama untuk disiarkan dalam salah satu penerbitan badan itu.

Menurut agensi itu, ia melibatkan karya bertajuk “Mahukah Engkau Lelap Sekejap di Halaman yang Tiada Pohon Rendang” yang kini dikeluarkan daripada penerbitan dalam talian Dewan Sastera.

“Siasatan masih dijalankan dan pihak DBP masih menunggu penjelasan dan perincian berhubung dengan perkara ini daripada penulis yang dimaksudkan.

“Sajak yang didakwa mempunyai unsur plagiat tersebut telahpun dikeluarkan daripada majalah berkenaan,” kenyataan itu dipetik.

Badan tersebut juga menegaskan pendirian menolak sebarang unsur plagiat dalam semua penerbitan dan menggesa pengkarya bertanggungjawab.

Penulis dimaksudkan didakwa sebagai seorang penerima anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tulisan yang disiarkan dengan namanya itu didakwa diplagiat daripada puisi asal karangan penyair Indonesia Setia Naka Andrian.

Karya tersebut dilaporkan tersiar dalam kumpulan puisi berjudul “Orang-orang Kalang” terbitan 2017.

Kumpulan penulis tempatan sejak beberapa hari lalu giat mendedahkan beberapa lagi perbuatan plagiat penulis itu, yang antara lain didakwa disiarkan Pelita Bahasa.

Ia antara lain ditegaskan pertubuhan Gerak Malaysia dan Bilik Penyair yang mendesak kegiatan tersebut disekat.

Mereka juga mahu DBP menyiarkan makluman ralat kepada pembaca, permohonan maaf kepada penulis karya asal dan butiran mengenai pesalah yang memplagiat dan karya terbabit.

Kenyataan berkenaan disokong hampir 100 orang penggiat sastera tempatan. – 19 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen