DBP tak setuju nama Inggeris Hari Sukan Negara


DEWAN Bahasa dan Pustaka tidak setuju dengan keputusan kerajaan menukar nama Hari Sukan Negara menjadi Malaysia Sports Challenge 2019.

Badan itu berkata undang-undang Malaysia memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan terpakai untuk semua urusan rasmi negara.

“Penjenamaan semula ini menunjukkan Kementerian Belia dan Sukan tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meluaskan penggunaan Bahasa Melayu termasuklah dalam program rasmi kerajaan,” kata DBP dalam satu kenyataan.

DBP merujuk kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara.

“Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua maksud rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.”

Semalam Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim berkata kerajaan menjenamakan semula Hari Sukan Negara menjadi Sports Challenge (MySC) dan memanjangkan sambutannya daripada sehari kepada sebulan.

“Ini hanya penjenamaan semula dan tiada kaitan dengan tujuan lain kerana penganjurnya adalah sama iaitu Kementerian Belia dan Sukan.

“Cuma bezanya ialah jika Hari Sukan Negara sebelum ini disambut sehari sahaja tetapi MySC disambut selama sebulan iaitu sepanjang Oktober ini dengan lebih banyak dan pelbagai aktiviti telah diatur,” katanya seperti dipetik Utusan Online semalam.

Beliau dipetik Bernama berkata penukaran nama itu tidak merendahkan martabat penggunaan Bahasa Melayu malah optimis penggunaan Bahasa Inggeris pada program tersebut tidak akan menjadi tembok penghalang kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakannya.

“Saya rasa tiada masalah kerana intipatinya masih lagi Malaysia, penganjurnya Malaysia (kerajaan) dan pesertanya juga orang Malaysia. 

“Tidak kira apa jenama atau bahasanya, saya rasa orang Malaysia tidak janggal untuk berhadapan dengan penggunaan bahasa itu,” jelasnya.

Acara kemuncak MySC 2019 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Bandar Sukan Kuala Lumpur pada 12 Oktober.

Hari Sukan Negara mula diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada 2015 dan disambut pada minggu kedua Oktober.

Penambahbaikan Hari Sukan Negara pernah dibayangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seawal Mac lalu. – 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen