Jangan biarkan ITBM karam


Zainal Rashid Ahmad

TIDAK mudah mencari agensi atau syarikat milik penuh kerajaan yang mempunyai kepakaran sumber manusia dari kumpulan umur penjawat muda.

Apalagi dalam bidang sastera, bahasa dan budaya. Secara amnya, agensi kerajaan yang beroperasi sebagai pemangkin minda bangsa dalam tiga agenda spiritual ini sudah tepu dan lesu sifatnya.

Dalam kes Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), kerajaan mungkin melihat aspek keuntungan dan liabiliti.

Keghairahan proses rasionalisasi lebih 80 agensi dan syarikat penuh milik penuh Kementerian Kewangan wajar dipertimbangkan dengan melihat juga aspek tanggungjawab sosial.

Tidak wajar proses penstrukturan semula hanya dinilai berdasarkan kos dan tanggungan. Apa lagi dalam kes ITBM, ia hanya memerlukan sokongan ‘iltizam politik’ kerajaan untuk membantu menyelesaikan kemelutnya.

ITBM tidak wajar menjadi mangsa. Proses rasionalisasi sebenarnya tidak perlu ekstrim hingga bertindak mengecilkan operasinya.

Formula rasionalisasi dengan hanya mengekalkan fungsi terjemahan dan menutup operasi penerbitan satu kerugian besar.

ITBM memiliki kepakaran sumber manusia yang muda dan berpotensi bagi kelangsungan industri perbukuan masa depan.

Sekilas, kita rujuk sebentar sejarah ITBM. Syarikat ini ditubuhkan pada 1993 dengan fungsi khusus perkhidmatan terjemahan.

Pada Disember 2011, berikutan kemelut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Dawama Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai krisis RM120 juta kali 12 tahun, yang menjejaskan industri penerbitan buku, ITBM dinaik taraf sebagai penyelamat.

Krisis DBP vs Dawama Sdn. Bhd. ketika menjejaskan industri penerbitan buku negara. Malah, memalukan kita semua.

Walaupun selepas krisis itu, ITBM diberikan tanggungjawab menerbitkan buku, syarikat kecil ini menerima beban tanpa sokongan modal atau kewangan tetap daripada kerajaan. Kecuali geran dan bantuan berkala.

Sejak itu, ITBM memacu langkah baharu. Tanggungjawab penerbitan buku memberikan ruang syarikat milik penuh Kementerian Kewangan ini merekrut dan membina pasukan penerbitannya.

Kelebihannya, selepas lapan tahun, pasukan ini muda, dinamik dan memiliki dimensi lebih luas sebagai aset masa depan perbukuan nasional.

Penjawatnya muda dan bermentaliti ‘sekolah baharu yang dinamik’. Malah, banyak pembaharuan dilakukan ITBM telah menyumbang ke arah nafas baharu kesusasteraan nasional.

Ini dilakukan ITBM dalam tempoh pantas selama lapan tahun. Ia sudah memiliki legasi, walaupun pengalaman perbukuan masih muda.

Saya tidak berniat mencela Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Namun, tidak dapat menolak, prestasi dan reformasi lapan tahun ITBM mengatasi sejarah 50 tahun DBP dalam konteks keberdayaan melakukan pembaharuan yang dinamik.

Kita harus menerima hakikat, dalam konteks ‘mengenal zaman dan generasi masa kini’, DBP sudah ketinggalan jauh. Dalam industri perbukuan, DBP dilihat ‘sangat tua dan langka sekolah pemikirannya’.

Mengembalikan fungsi penerbitan buku kepada DBP, ertinya membunuh pembaharuan dan reformasi kandungan perbukuan ilmu dan sastera di negara ini.

Krisis bisnes ITBM bukan skandal 1MDB

ITBM memang sedang berdepan dnegan krisis kewangan dan model perniagaan mapan.

Syarikat itu kini dikaitkan dengan hutang RM9.5 juta. Namun, jangan lupa - ITBM memiliki aset stok perbukuan. Malah, nilainya melebihi RM10 juta.

Pada tempoh kritikal ini, ITBM hanya memerlukan sokongan moral kerajaan melalui bantuan pembelian komersil. Bantuan ini penting.

Tindakan pembelian buku oleh kementerian, agensi kerajaan dan 21 syarikat gergasi yang dikawal kerajaan mampu membantu ITBM melalui detik sukar ini.

Pendapatan tunai segera ini membolehkan ITBM bernafas dan menyusun semula model operasi menjadi lebih mapan.

Paling tidak, menyelesaikan tekanan isu gaji, hutang penterjemah dan modal kerja kecil bagi meneroka potensi bisnes baharu.

Menutup bahagian penerbitan ITBM atau mengecilkan operasi satu langkah bisnes yang bersikap ‘memilih jalan mudah’.

Saya tidak fikir, dinamika Malaysia Baru wajar bersikap semudah itu. Apa lagi dalam konteks menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam isu perbukuan, bahasa dan sastera.

Ingat, ITBM rejim popular dalam kalangan generasi muda. Berbanding DBP yang mewakili ‘sekolah lama yang tua’.

ITBM berpotensi miliki model bisnes relevan

Menyusun semula ITBM tidak sukar. Namun tidak pula mudah. Apa pun kunci utama memerlukan iltizam politik dan rasa hormat terhadap usaha-usaha pembaharuan yang telah diteroka generasi muda syarikat itu.

ITBM memang memerlukan model perniagaan lebih mapan. Sekiranya kerajaan mahu ia berfungsi sebagai syarikat komersil berasaskan keuntungan.

Walaupun, amat naif untuk meletakkan beban keuntungan komersil pada bahu syarikat yang turut memikul tanggungjawab sosial dalam memelihara kepentingan perbukuan.

Apalagi dalam kes ITBM, ia membabitkan produk ilmu, terjemahan, karya sastera dan bahasa.

DBP yang berusia lebih 60 tahun pun tidak mampu melaksanakannya. Malah, berdasarkan prestasi semasa, mengembalikan fungsi penerbitan buku ke DBP, satu langkah amat keterbelakang.

Pada masa ini model ‘menang cepat’ (quick win) untuk membantu ITBM ialah usaha kerajaan membeli buku terbitannya. Sokongan pantas kementerian, agensi serta Ahli Parlimen mampu merealisasikan bantuan segera.

Selain, sokongan kementerian lain dalam kerajaan. Umpamanya, hak eksklusif ITBM untuk menterjemah semua dokumen berkaitan urusan Jabatan Imigresen Kementerian Dalam Negeri.

Peranan dan sokongan Kementerian Luar juga besar, sekiranya semua proses dokumen terjemahan diberikan pada ITBM.

ITBM rakan strategik Dekad Membaca Kebangsaan

Mengenai penerbitan buku, ITBM wajar diberikan peranan utama dalam menjana kerjasama strategik dengan rakan korporat dan masyarakat awam.

Model paling berkesan dan bersifat jangka panjang ini wajar diberikan ketika kerajaan mahu melaksanakan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021-2030.

ITBM wajar diberikan hak eksklusif mendapatkan penajaan Rakan Strategik DMK.

Melalui kempen sedekad DMK serta potensi ITBM berkolaborasi dengan lebih 100 rakan korporat, ia mampu meraih dana komersil CSR bernilai antara RM10 hingga RM15 juta setahun.

DMK 2021 hingga 2030 akan menstabilkan bisnes perbukuan ITBM dengan memiliki sokongan rakan strategik yang menyumbang melalui Dana CSR.

Peranan ini akan menjimatkan dana kerajaan dalam membiayai DMK. Sekiranya ITBM diberi peranan mengendalikan dana komersil penajaan korporat dan awam, projek ini mampu menjadi tetulang utama DMK.

ITBM memiliki model projek DMK. Kementerian Kewangan hanya perlu memberikan ruang kepada syarikat itu membentang dan melaksanakannya.

Malah, kerajaan boleh mencabar ITBM untuk meneruskan fungsi komersilnya melalui model bisnes sosial bersama sektor korporat. Ini akan menjadikan DMK lebih berdaya komersil.

ITBM perlu bantuan segera

Cuma, ketika ini ITBM memerlukan bantuan segera kerana krisis kewangannya yang meruncing.

Seperti rayuan Pengurus Besar dan Pemangku Pengarah Urusan, Sakri Abdullah yang disiarkan The Malaysian Insight pada 14 November lalu.

“Kerajaan boleh membantu dengan memastikan kementerian dan agensinya membeli buku yang diterbitkan.”

Permintaan Sakri bukan desakan bantuan sepanjang hayat untuk ITBM. Sakri berada dalam keadaan mendapatkan tunai segera bagi menyusun semula keadaan kewangan ITBM yang sangat kritikal.

Mustahil dengan 28 kementerian serta 21 agensi gergasi di bawah kawalan kerajaan serta puluhan agensi lain yang memiliki pelbagai sumber dana, rayuan Sakri dan ITBM hanya diabaikan begitu saja.

Dalam isu ini, ‘kemahuan politik’ dan ‘kemahuan patriotik’ mampu menyelesaikan keadaan kecemasan ITBM.

Secara patriotik, rakyat Malaysia juga boleh membantu menyelamatkan ITBM. Tidak perlu bermandi peluh atau berdemonstrasi.

Segera beli buku ITBM. Dua judul setiap orang akan memberikan titik oksigen bagi hayat perjuangan syarikat ini.

Selamatkan ITBM. Aset tenaga muda demi masa depan perbukuan negara berada dalam syarikat kecil ini.

Menamatkan khidmat 50% daripada 116 penjawatnya hanya membunuh aset cerdik pandai dalam perbukuan Malaysia. – 15 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen