Beli buku kami, bantu selamatkan operasi, rayu ITBM


Nabihah Hamid

Kerajaan boleh membantu ITBM terus hidup dengan memastikan kementerian dan agensi kerajaan berkenaan membeli buku yang diterbitkannya. – Gambar Facebook, 14 November, 2019.

KERAJAAN boleh membantu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) terus hidup dengan memastikan kementerian dan agensi kerajaan berkenaan membeli buku yang diterbitkannya, kata Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah.

Bantuan kerajaan itu mustahak demi memastikan ITBM dapat terus menjalankan mandat dan tanggungjawab sosialnya, antaranya memperkayakan ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu.

Semalam The Malaysian Insight melaporkan ITBM, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa mengecilkan operasi dengan memberhentikan separuh daripada 116 kakitangannya.

Menurut Sakri, pihaknya sudah menghantar surat kepada beberapa kementerian menawarkan pakej buku yang sesuai.

“Kami sudah tulis surat dan hantar kepada kementerian yang bersesuaian. Setiap kementerian ada ruang membaca dan kita tawarkan pakej buku ITBM untuk ruang tersebut.

“DBKL, Mara dan Felda misalnya ada ruang bacaan. Kami sudah hantar tawaran kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga memberikan contoh Kementerian Pendidikan (KPM) yang boleh membeli buku untuk diedarkan ke sekolah seperti yang pernah ia lakukan tiga tahun dulu.

Jelas Sakri, hasil jualan buku itu boleh membantu ITBM mengekalkan operasi dan membayar hutang yang ada, misalnya kepada penterjemah.

“Sekarang ini agak sukar (untuk langsaikan hutang) kerana fokus pendapatan lebih kepada pembayaran gaji,” katanya.

Selain membeli buku terbitan ITBM, kementerian dan agensi kerajaan boleh membantu mereka dengan menggunakan kepakaran dalam bidang penterjemahan yang ada di badan itu, terutamanya yang melibatkan dokumen rasmi kerajaan.

Fungsi ITBM pada masa ini 60% untuk penterjemahan dan kejurubahasaan dan 40% untuk penerbitan karya asli. – Gambar Facebook, 14 November, 2019.

Katanya, ITBM mempunyai 16 penterjemah tetap dan lebih 1,500 penterjemah profesional yang berdaftar dengannya.

Khidmat mereka itu boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, terutama ketika Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri sedang berusaha menjadikan ITBM sebagai badan pengesahan terjemahan.

“Inilah fungsi ITBM… memantau terjemahan dengan tepat. Semua orang ingat pandai bahasa dah boleh terjemah tetapi tidak. (Kerja terjemahan) ada teknik dan kemahiran tertentu,” katanya.

Sebelum dikenali dengan namanya sekarang, ITBM yang ditubuhkan pada 1993 memakai nama Institut Terjemahan Negara Malaysia.

Selepas 18 tahun beroperasi, pada 2011 kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak menambah mandat baharu kepada ITBM untuk menerbitkan karya asli penulis Malaysia dan serentak itu, namanya ditukar.

Di bawah skop operasi baharu itu, fungsi ITBM kekal 60% untuk penterjemahan dan kejurubahasaan dan 40% untuk penerbitan karya asli.

The Malaysian Insight difahamkan dalam tempoh hampir lapan tahun menjalankan operasi dengan mandat baharu, ITBM mula mengalami kerugian dan menanggung hutang sehingga RM9.5 juta.

Ini tidak termasuk kos operasi penggajian bulanan sehingga RM500,000. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen