ITBM kecilkan operasi, mungkin berhentikan separuh pekerja 


Nabihah Hamid

INSTITUT Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan memberhentikan separuh daripada 116 kakitangannya dalam langkah mengecilkan operasi bagi membolehkan ia terus beroperasi.

Beberapa pekerja ITBM memberitahu The Malaysian Insight mereka sudah dimaklumkan mengenai langkah pemberhentian itu sejak beberapa bulan yang lalu.

Pihak pengurusan syarikat juga sudah mengambil langkah cuba meringankan beban kakitangan yang terlibat dengan menjemput beberapa agensi antaranya Jabatan Tenaga Kerja, Perkeso dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memberi taklimat.

“Selepas raya haji (pada Ogos lalu) ada taklimat kepada semua pekerja. Ramai yang memahami dan reda dengan keadaan. 

“Kami juga diberi khidmat nasihat daripada kaunselor, insurans Perkeso dan taklimat peluang pekerjaan yang lain,” kata seorang kakitangan yang enggan dinamakan, yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat.

The Malaysian Insight difahamkan oleh kakitangan bahawa mereka akan ditawarkan pampasan sebulan gaji. 

“Kami harap kerajaan boleh bantu agar kami boleh dapat pampasan lebih banyak. Kalau ada VSS (skim pemberhentian sukarela) lebih terjamin sementara nak cari kerja lain,” kata sumber yang lain pula. 

ITBM, yang sebelum ini dikenali dengan nama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 1993. Ia berperanan mengendalikan hal ehwal penterjemahan dan kejurubahasaan.

Selepas 18 tahun beroperasi, pada 2011 kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak menambah mandat baharu untuk menerbitkan karya asli penulis Malaysia dan menukar namanya daripada ITNM kepada ITBM. 

Di bawah skop operasi baharu itu, fungsi ITBM kekal 60% untuk penterjemahan dan kejurubahasaan dan 40% untuk penerbitan karya asli.

The Malaysian Insight difahamkan dalam tempoh hampir lapan tahun menjalankan operasi dengan mandat baharu, ITBM mula mengalami kerugian dan menanggung hutang sehingga RM9.5 juta. Ini tidak termasuk kos operasi penggajian bulanan sehingga RM500,000.

Pengurus Besar merangkap Pengarah Urusan ITBM Sakri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya dalam proses menjalankan pemberhentian pekerja, yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“ITBM terlibat dalam rasionalisasi Kementerian Pendidikan Malaysia. Kami memang diarahkan balik kepada fungsi asal iaitu menterjemah buku, dan sudah tentu kita perlu kecilkan operasi, jika tidak staf akan berlebihan,” katanya.

“Kemungkinan ahli lembaga pengarah akan berjumpa dengan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat dan tindakan akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat maklum balas daripada Kementerian Kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Menurut Sakri, pihaknya telah berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban pekerja.

“Banyak langkah awal sudah kita ambil termasuk memanggil Socso, JobMalaysia dan AKPK. Ia bagi membantu kemungkinan staf membuat perancangan,” katanya.

Beliau juga mengesahkan sehingga 50% kakitangan bakal terlibat dalam proses pengecilan operasi ITBM ini.

“Peratusan sebenar pengecilan belum ditetapkan kerana selama 5 ke 6 bulan ini kami sedang kaji keperluan ITBM untuk operasi. 

“Kita tak nak bazir tenaga mahir sehingga terpaksa cari semula. Tetapi jumlahnya (yang akan diberhentikan) mungkin mencapai 50 peratus,” katanya. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen