Surat terbuka kepada penulis dan pentadbir sastera


Zainal Rashid Ahmad

“Sekali berarti

Sudah itu mati”

– puisi Diponegoro, Chairil Anwar (1943)

SAMA ada anda penulis atau pentadbir sastera, surat ini bermula dengan ingatan: tiada berita gembira apabila bercakap soal realiti sastera.

Keterawangan dunia sastera bukan isu baharu. Terutama kualiti pemikiran serta kegagalan penulis menjadi suara massa.

Sengaja saya petik kenyataan Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018, Olga Tokarczuk, ketika menyampaikan ucapan di Pesta Buku Frankfurt, Oktober lalu.

“Tiada penapisan rasmi dalam sastera tetapi saya berasa bimbang dengan penapisan sendiri yang membelenggu sastera Poland,” katanya.

Olga merujuk pada tahap keberanian penulis melahirkan kritikan melalui karya sastera. Radius kenyataannya merujuk pada persekitaran sastera dan politik di Poland.

Secara mudah, kenyataan Olga menyentuh persoalan krisis penapisan sendiri akibat ketakutan penulis untuk bersuara. Apalagi menongkah arus politik.

Sikap pasif ini mematikan peranan penulis dan melemahkan fungsi sastera sebagai suara ketiga dalam institusi negara bagi mengimbangi dominasi politik.

Secara umum, isu yang dibangkitkan Olga sangat signifikan dengan persekitaran sastera Malaysia. Penulis gagal menawarkan idea kritis bersifat semasa yang relevan dengan realiti masyarakat.

Mendepani cabaran politik bukan bersikap anti atau pro politik, tetapi menjadikan sastera suara prominan dalam menyampaikan secara bijak naratif pemikiran penulis dalam institusi bernegara.

Lebih mudah: penulis tidak wajar melihat politik sebagai alergik. Apabila penulis mengelat dan menjauhi tema kritikan politik, sastera hilang peranan sebagai institusi sosial. Bukan perkara yang mulia apabila penulis memilih jalan selesa dengan berkarya secara selamat.

Relatifnya, kesan ketakutan penulis menyebabkan sastera gagal berfungsi sebagai suara yang mengangkat isu masyarakat. Atau bertindak sebagai suara pendesak yang komprehensif bagi melobi perubahan dasar-dasar kerajaan yang dilihat tidak memihak kepada rakyat.

Sikap penulis yang cenderung mengejar keunikan diri sebagai identiti dalam berkarya menjadikan sastera hanya cermin lantunan kegalauan sasterawan.

Hari ini, anak muda berjiwa besar tidak lagi melihat sastera sebagai platform yang ada nilai dan upaya untuk memperjuangkan gerakan massa.

Bagi anak muda yang memiliki aspirasi besar dan berfikiran kritis, sastera bukan tempat berbicara.

“Kami menulis kerana kami penulis,” kata seorang penulis.

“Kami tidak peduli dengan perkara yang tidak ada kaitan dengan keperluan kami.”

Penulis kontemporari sangat percaya: sastera harus kekal sebagai milik anarkis; menjadi medium seni bagi ekspresi diri yang narsis.

Pentadbir makan gaji tanpa jiwa sastera

Mentaliti pentadbir sastera juga satu ancaman besar yang meracuni masa depan sastera dan bahasa.

Sikap pentadbir sastera dengan budaya kerja ‘menunggu hari pencen’, ‘selesa dengan jawatan sedia ada’ dan ‘jadilah pak turut kalau mahu naik pangkat’, antara beban besar yang menguncupkan kebugaran sastera.

Ini sindiran relevan berdasarkan ketepuan agenda sastera selama ini. Kita ketiadaan pentadbir yang boleh diandalkan daya fikirnya. Berminda baharu dan mampu berperanan sebagai ‘game changer’.

Hakikat ini merujuk kepada ratusan pentadbir sastera hari ini. Berdasarkan penilaian kritis terhadap keupayaan mereka untuk membina katalis baharu kesusasteraan nasional.

Majoriti penjawat kanan jelas gagal berperanan dalam membina reformasi pentadbiran. Malah, masih dungu dalam memahami hakikat persekitaran baharu yang menuntut reformasi peranan sastera dan bahasa.

Malah, ramai pentadbir masih buta dan langsung tidak menyedari datangnya era baharu. Dekad yang menyeru konsep keterbukaan sastera menjadi lebih kritis terhadap politik dan agenda sosial.

Kita mencari kelompok pentadbir pelapis yang memiliki iltizam pembaharuan. Pentadbir yang berupaya menjadikan sastera sebagai mekanis sosial yang berfungsi secara strategik dan dinamik. Sekali gus sebagai suara lantang dalam mengimbangi dominasi politik.

Kalau ditanya soalan ini, jawapan pentadbir sastera sangat menyakitkan hati: “Kami makan gaji…”

Sikap ini harus diubah kalau sastera mahu menempatkan diri pada era kebangkitan ini. Sastera harus merebut peluang menjadi kuasa ketiga bagi rujukan politik.

Sasterawan harus faham, institusi sastera ialah aset untuk mengimbangi idea dan aspirasi dalam konsep bernegara.

Pegawai ‘padi angin’ takkan berbuah akalnya

Nampaknya, abaikan saja harapan terhadap pembaharuan institusi sastera. Kita tidak boleh mengharapkan sastera berubah di tangan kumpulan pentadbir dengan mentalitinya sekadar makan gaji.

Malah, sastera dan bahasa akan mati sekiranya kekal di tangan ‘regim lapuk dan lakur’ ini.

Saya merujuk pada budaya kerja tanpa idea baharu sejak berdekad lamanya. Dalam kepala otak pentadbir sastera, idea yang ada hanyalah budaya menganjurkan bengkel, bengkel dan bengkel.

Lebih mual - hasilnya jengkel! Tanpa idea segar, pentadbir hanya tekun meneruskan kerja-kerja tradisi. Walaupun dengan akal waras, mereka sebenarnya sudah faham: warisan kerja gaya lapuk ini tidak lagi reflektif dengan realiti hari ini.

Takuk idea pentadbir sastera masih taasub dengan budaya seminar, seminar dan seminar. Konsep ‘sekolah lama’ dengan perangkap idea yang sudah luput tarikh relevannya.

Pentadbir sastera dan bahasa jenis ini gagal memahami naratif baharu. Sastera memerlukan zon wacana intelek gaya baharu bagi melahirkan generasi penulis muda yang dinamik.

Kita berada pada era memastikan sastera mampu menjadi alat melaksanakan tanggungjawab sosial yang mapan.

Artikel ini penuh dengan kritikan. Penulis dan pentadbir pasti merespon dengan sikap stereo taip: “Ini suara protes yang mahukan perhatian murahan….”

Atau bertindak klise dengan gaya pasif apabila dikritik: “Baiklah… kalau pandai sangat, apa saranannya?

Jawabnya mudah! Kalau mahu berjuang pun masih tertanya-tanya hala tuju: elok jadi budak penambang di pelantar sungai tujuh simpang.

Kalau puluhan tahun mentadbir jabatan pun kena disogok idea pembaharuan, itu tanda anda perlu bersara.

Kita pasti akan melihat perangai lama – regim angkuh yang pantang ditegur. – 13 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen