DBP perlu kemuka terjemahan tepat kalimah 'God'


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa tampil menyatakan pendirian tegas dengan mengisytiharkan terjemahan tepat bagi perkataan “God” ke Bahasa Melayu, seperti termaktub dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963. 

Dalam kes terbaru Jill Ireland, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu, yang membenarkan kalimah “Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan mereka untuk tujuan pendidikan iaitu Baitullah, Kaabah dan solat. 

Penjelasan DBP dalam hal ini perlu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan mereka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. 

Isu ini timbul berulang kali menyebabkan keresahan dan kemarahan umat Islam dalam negara. Rata-rata berpendapat terjemahan istilah “God” ke bahasa Melayu adalah “Tuhan” mengikut kamus bahasa DBP. 

Rakyat beragama Islam terutamanya berpendapat salah guna istilah akan terjadi jika terjemahan yang salah dibenarkan sewenang-wenangnya. Mimpi ngeri melihat, contohnya “Marilah kita solat kepada Isa Anak Allah di Baitullah Katolik kita”. Walhal dalam doktrin agama Islam jelas dan tepat, Allah itu Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

Contoh penggunaan kalimah Allah dalam doktrin keagamaan yang lain seperti ‘trinity’ berbanding ‘Yang Esa’ boleh membawa kepada kekeliruan dan berbentuk penghinaan. Kalimah “Allah” menjadi kata nama khusus yang merujuk kepada sifat suci dan ketuhanan umat Islam. 

Bolehkah penganut Kristian dalam kalangan bangsa India mengunakan perkataan “Brahma” untuk God dalam kitab Injil apabila diterjemahkan ke bahasa Tamil? Sudah tentu tidak, kerana “Brahma” adalah nama khusus. 

Yang sebenarnya, Bible asal bukan ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ia ditulis dalam bahasa Greek, kemudian Latin. Dalam bahasa Greek dan Latin tidak ada kalimah Allah. 

Apabila penganut agama lain ingin mengembangkan agama mereka dalam kalangan orang yang dijajah dengan slogan “For the Gospel and Gold”, mereka mengunakan perkataan Allah untuk Tuhan dalam kitab-kitab mereka. Umpamanya di Mesir, di mana mereka bertutur dalam bahasa Arab dan Bible pun dalam bahasa tersebut. 

Sebelum ini, pada 2017, satu delegasi dari Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) pernah mengadakan pertemuan dengan ketua pengarah DBP Abdul Adzis Abas ketika itu dan timbalan ketua pengarah (Dasar) Abang Sallehuddin Abang Shokeran bagi membincangkan isu kalimah Allah.

Pertemuan itu diadakan sebab pengerusi ACCIN ketika itu, Mohd Jamaludin Shamsudin bimbang dengan keadaan semasa dan menyifatkan ketegangan masih belum reda ekoran isu kalimah Allah. 

“Ada kekeliruan di kalangan orang Islam dan beberapa denominasi Kristian, berpunca daripada tak mahu menerima keputusan mahkamah dalam kes The Herald,” katanya.

ACCIN menggesa DBP sebagai pihak berkuasa bahasa kebangsaan agar tampil sekali lagi memberi penerangan kepada umum bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di negara ini. 

DBP mempunyai peranan mengalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa, termasuk larangan menyebarkan agama lain kepada umat Islam dalam enakmen negeri-negeri. 

Ketika perjumpaan tiga tahun lalu, DBP memaklumkan bahawa ia bersedia untuk memberi penjelasan termasuk di mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian. DBP bersedia untuk tampil memberi penjelasan tentang isu ini apabila perlu dalam bentuk apa pun; sekiranya mahkamah panggil mereka sanggup nak pergi. 

Namun sehingga ini, perkara ini masih belum berlaku. 

Penjelasan ini semakin perlu hari ini memandangkan salah guna istilah boleh berlaku jika perkara ini tidak dibendung mengikut lunas Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. – 17 Mac, 2021. 

* Mohd Jamaludin Shamsudin, CEO Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen