Dunia korporat Malaysia perlukan perubahan, kata bekas CEO PNB 


Kamles Kumar

Bekas CEO PNB Jalil Rasheed berkata campur tangan politik akan mengganggu tadbir urus korporat. – 31 Ogos, 2020.

DUNIA korporat di Malaysia memerlukan perubahan besar termasuk menghapuskan sebarang bentuk campur tangan politik, kata bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Pemodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed.

Menurutnya, selama enam bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional terdapat campur tangan politik secara besar-besaran yang mengganggu tadbir urus korporat. 

Jalil menjadikan peletakan jawatannya sendiri sebagai rujukan yang mana beliau dan keluarganya menerima ancaman serta khabar angin tersebar melalui media. 

“Tekanan datang dari pelbagai sudut. Saya menulis surat untuk membantah campur tangan ahli politik namun ia ditolak. Pada dasarnya ia mengatakan terpulang kepada kamu. 

“khabar angin tersebar di media jadi ia memberi tekanan kepada saya. Saya juga menerima panggilan ugutan namun ia terhenti selepas saya letak jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau menjelaskan terdapat juga kontrak dan kontraktor yang beliau syorkan untuk diberhentikan namun dikekalkan atas arahan kerajaan semasa. 

“Pilihan paling mudah adalah dengan hanya menutup mata, letak jawatan atau hanya kutip gaji sahaja. Apabila kontrak saya tamat dalam tiga tahun, mereka mungkin akan perbaharuinya 

“Tetapi saya bimbang dengan kesan yang saya lakukan. Dari pandangan saya, saya mahu tinggalkan dunia korporat Malaysia yang lebih baik. aya mahu bertanggungjawab mengenainya,” kata Jalil. 

Bekas ketua firma pelaburan itu menambah Perikatan dan Menteri Kewangannya Tengku Zafrul Aziz seharusnya benar-benar mahu dirinya mengundurkan diri.

Jalil turut berdepan persoalan kontroversi berhubung kelayakannya. 

“Jadi kenapa saya kena berdepan semua ini? Saya profesional. Saya telah membina kerjaya selama 17 tahun di luar negara. Saya dapat wang lebih banyak daripada ini. Mengapa saya nak terus bergantung padanya?

“Saya nikmati setiap hari dalam PNB selama sembilan bulan. Sebaliknya, adakah saya menyesal untuk kembali? Tidak. Adakah saya akan lakukannya lagi? Tidak. Saya tidak menyesal, cuma saya kesal ia berakhir dengan cara itu,” kata Jalil. 

Persoalan mengenai kelayakannya timbul di Parlimen selepas dipersoalkan ahli Parlimen. Dalam jawapan bertulis daripada perdana menteri menyatakan Jalil bukan lulusan London School of Economics, merujuk kepada pengesahan daripada organisasi itu. 

Bagaimanapu Jalil berkata fakta ini diketahui ramai dan semua majikannya terdahulu tahu kerana mereka membuat semakan latar belakang sebelum mengambilnya bekerja. 

Katanya berbeza dengan ketika pentadbiran Pakatan Harapan yang mana beliau diberikan autonomi untuk mengatur carta kursus PNB. 

“Semuanya baik ketika enam bulan pertama pentadbiran PH. Untuk lebih adil kepada mereka, mereka sememangnya komited dengan agenda pembaharuan. 

“Terdapat perkara yang saya mahu lakukan, saya maklumkan Pejabat Perdana Menteri dan Dr Mahathir setuju. Beliau okay dengan saya membuat keputusan sukar,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Jalil yang sebelum ini bertugas sebagai CEO Invesco Ltd Asia Tenggara, meletakkan jawatan pada 15 Jun dan menyatakan beliau dan keluaarganya diganggu. 

Beliau merupakan ketua PNB termuda dan dilantik PH pada Oktober, menggantikan Abdul Rahman Ahmad. Tempoh perkhidmatannya merupakan yang terpendek dalam sejarah tabung unit amanah itu. 

PNB menguruskan simpanan lebih 14 juta rakyat Malaysia dan merupakan pemegang saham utama dalam Sime Darby, MayBank, SP Setia, UMW, Malaysian Reinsurance dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz kini merupakan pengerusi PNB. Beliau merupakan antara yang bertanggungjawab membawa Jalil ke PNB.

Jalil kini mencari jalan untuk menyumbang kepada korporat Malaysia yang lebih baik, termasuk dengan menjalin hubungan dengan parti pemuda Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Saya perlu lakukannya. Jika saya menolaknya, saya boleh terus merungut semua yang salah dalam korporat Malaysia namun saya ada peluang untuk mengubahnya. Ia sama seperti orang yang sering merungut namun tidak pernah melakukan apa-apa. 

“Saya akan mengkritik orang sebegini…Malah kamu tidak melakukannya dan masih merungut kerana menjadi sebahagian daripada masalah. Saya mahu berubah,” katanya. – 31 Ogos, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen