Saya berhenti kerana isu profesionalisme dalam syarikat, kata bekas CEO PNB


Jalil Rasheed berkata semua bekas majikannya tahu latar belakang akademiknya dan tidak timbul sebarang masalah. – Gambar Facebook, 17 Julai, 2020.

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed berkata beliau meletakkan jawatan disebabkan isu profesionalisme dalam syarikat dan ia patut menjadi fokus perbincangan, bukan kelayakan akademiknya.

“Saya meletak jawatan kerana tidak suka perkara yang berlaku di situ. Jika seseorang tidak suka, boleh saja memberitahu saya (tiada siapa berbuat demikian), dan saya akan mengundurkan diri. Mudah,” tulisnya di Twitter hari ini.

“Saya seorang profesional yang memandang serius pekerjaan saya kerana ingin membawa profesionalisme dalam syarikat.

“Mungkin fokus itu perlu menjadi keutamaan dan bukannya mengenai CEO yang sudahpun meletakkan jawatan.”

Jalil, yang sebelumnya berkhidmat sebagai CEO Asia Tenggara untuk Invesco Ltd, meletakkan jawatan pada 15 Jun dengan berkata beliau dan keluarganya diganggu.

Beliau adalah ketua PNB termuda dan dilantik oleh Pakatan Harapan pada Oktober, bagi menggantikan Abdul Rahman Ahmad.

Tempoh perkhidmatannya adalah yang terpendek dalam sejarah syarikat pengurusan unit amanah itu.

Isu kelayakan Jalil disebut di Parlimen semalam susulan jawapan kepada pertanyaan ahli Parlimen.

Jawapan bertulis daripada perdana menteri berkata Jail bukan lulusan London School of Economics, memetik pengesahan daripada LSE.

Bagaimanapun, Jalil berkata ini adalah fakta yang sudah dketahui dan semua majikannya sebelum ini mengetahui kerana mereka melakukan pemeriksaan latar belakang sebelum mengambilnya. – 17 Julai, 2020.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen