Jalil Rasheed letak jawatan CEO PNB, dakwa diganggu


Jalil Rasheed meletak jawatan selaku CEO PNB hari ini, mendakwa beliau diganggu pihak tidak dikenali sepanjang sembilan bulan menerajui syarikat dana pelaburan negara mencecah RM300 bilion itu. – Gambar Facebook, 15 Jun, 2020.

JALIL Rasheed meletak jawatan selaku ketua pegawai eksekutif Permodalam Nasional Bhd (PNB), keputusan yang dibuatnya kerana wujud gangguan terhadap dirinya dan keluarga sepanjang sembilan bulan menerajui syarikat pengurusan dana awam mencecah RM300 bilion itu.

Dalam sepucuk surat ditujukan kepada kakitangan PNB yang dilihat The Malaysian Insight, ketua korporat berusia 38 tahun itu berkata beliau membuat keputusan “bersendirian dan mengecewakan” untuk meletak jawatan kerana “tidak mahu mengheret PNB ke dalam isu ini.”

“Pemutus keputusan saya adalah gangguan yang saya terpaksa hadapi bermula daripada panggilan (telefon) kebencian daripada nombor tidak dikenali, menggodam email akaun korporat saya dan profile LinkedIn saya. Ini menyebabkan saya makin bimbang terhadap kesejahteraan keluarga saya.

“Di akhirnya, saya memutuskan adalah tidak adil untuk keluarga saya sekiranya perkara bertambah buruk. Kami buat pengorbanan keluarga dan kewangan yang besar untuk berpindah balik ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar mahu menyumbang kepada pembangunan negara. Saya kecewa semua ini terhenti tiba-tiba.”

Jelasnya, beliau akan berehat sebentar menghabiskan masa dengan keluarganya, “untuk menenangkan fikiran saya dan memutuskan langkah seterusnya.”

Jalil, graduan London School of Economics sebelum ini adalah CEO Invesco Ltd untuk Asia Tenggara berkata, beliau tidak menyesal menyertai PNB, menyifatkan kakitangan agensi pelaburan itu memberikannya sokongan penuh dan berdedikasi menjalankan tugas.

“Saya sangat berbangga dengan anda semua yang meraikan banyak perubahan yang berlaku ke atas anda; transformasi tempat kerja, aturan kerja fleksible, pengorganisasian syarikat, Focus-4, kerangka penerajuan dan meraikan teknologi. Terima kasih atas sumbangan dan sokongan tidak berbelah bahagi anda.”

“Selalulah ingat yang kita ada 14 juta pemegang unit yang bergantung kepada anda untuk memberikan mereka pulangan di atas duit kerja keras mereka (yang dilaburkan),” tambahnya.

PNB dalam kenyataan dikeluarkan mengucapkan penghargaan kepada Jalil dan berkata CEO baharu akan diumumkan selepas menerima kelulusan kawalan selia diperlukan. 

“PNB mendoakan kejayaan Jalil dalam segala usahanya pada masa depan. Lembaga juga meluluskan pelantikan pengganti beliau dan pengumuman akan dibuat selepas menerima kelulusan kawal selia yang diperlukan.” 

Sementara itu, mengulas isu pengunduran Jalil, wartawan veteran A Kadir Jasin di blognya mendakwa ia dibuat Perikatan Nasional kerana wujud keraguan mengenai kelayakan pendidikan Jalil yang disifatkannya hanyalah “alasan”.

“Isu persekolahan beliau hanyalah alasan. Kalau pihak berkuasa pasaran modal di Singapura, Hong Kong dan United Kingdom yang lebih tinggi piawaiannya boleh memberi lesen kepada Jalil mengapakah tiba-tiba persekolahan beliau menjadi isu kepada Muhyiddin (Yassin) dan Zafrul (Tengku Zafrul Aziz) serta budak-budak mereka?” soalnya.

Jalil adalah graduan London School of Economics and Politics (LSE), antara universiti terkemuka dunia dalam bidang ekonomi dan sains sosial serta salah sebuah daripada 17 kolej yang berada di bawah gabungan University of London.

Jalil adalah CEO PNB termuda yang dilantik pentadbiran Pakatan Harapan pada Oktober lalu, menggantikan Abdul Rahman Ahmad.

Dengan peletakan jawatannya, beliau kini adalah CEO paling singkat mentadbir dana unit amanah negara itu.

PNB menguruskan simpanan lebih 14 juta rakyat Malaysia dan merupakan pemegang kepentingan utama dalam pelbagai syarikat, antaranya, Sime Darby, MayBank, SP Setia, UMW, Malaysian Reinsurance dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz sekarang adalah pengerusi PNB. – 15 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen