KAKITANGAN di Hospital Sungai Buloh telah bersama-sama dalam sebuah dokumentari berkongsi bagaimana hospital dan kakitangan barisan hadapan menangani wabak Covid-19 di negara ini.
Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur Prem Singh berkata ketika virus itu melanda negara ini, ia merupakan sesuatu yang sukar bagi hospital dan kakitangan.
“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (Perkhidmatan Hospital) dibentuk secara fizikal pada 9 Mac di mana semua maklumat dan statistik penting disusun untuk penyelidikan serta disampaikan kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam dokumentari berdurasi 17.30 minit.
“Pandemik baharu ini merupakan pembelajaran sukar baharu bagi kami. Kami terus belajar dan terus bertambah baik.
“Saya tahu tanpa sokongan daripada semua ketua jabatan, ini tidak mungkin berlaku,” katanya.
Pada Mac, Hospital Sungai Buloh menjadi pusat penyakit berjangkit utama untuk merawat pesakit Covid-19.
Ketua Jabatan Perubatan dan perunding penyakit berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar berkata ketika pihak hospital mendapat tahu mengenai wabak Covid-19 di China, persiapan segera dilakukan sekiranya berlaku jangkitan di negara ini.
“Kami cukup bersedia untuk Covid-19 ketika mendengar mengenai wabak berkenaan di China. Kami mengosongkan satu sisi wad yang semuanya bilik seorang dan berdua. Kita mempunyai infrastruktur yang sangat baik.
“Kami mempunyai blok utama, satu lagi hospital lama yang dipanggil Pusat Kawalan Kusta Nasional dan di sebelahnya mempunyai asrama pelatih jururawat yang dipanggil Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh. Oleh itu berdasarkan ini kami mempunyai tiga kemudahan berbeza di bawah satu bumbung,” katanya.
Malaysia adalah salah satu dari beberapa negara yang mempunyai pusat rawatan terawal dan langkah-langkah kawalan wabak yang ketat menjadikan jangkitan serta kematian Covid-19 rendah. – 30 Ogos 2020.
Berita penuh di sini.
Komen