Sukarelawan bantu Hospital Sungai Buloh, bersihkan wad untuk Covid-19


SEKUMPULAN sukarelawan daripada Yayasan Tzu Chi Malaysia semalam berada di Hospital Sungai Buloh bagi membantu membersihkan bilik dan wad yang akan digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 ketika pihak berkuasa menjangkakan peningkatan kes wabak berbahaya itu.

Rakaman video aktiviti kumpulan itu dimuatnaik ke akaun Facebook menunjukkan hampir 60 orang ahli yayasan itu daripada cawangan Kuala Lumpur dan Selangor menyertai sesi pembersihan itu.

Sukarelawan memakai sarung tangan dan topeng muka dan diminta supaya tidak menanggalkannya sewaktu pembersihan berlangsung.

Mereka membersihkan 11 bilik kosong dalam bangunan yang merupakan bekas tapak Pusat Kasta Negara.

“Kakitangan saya faham yang mereka menerima sokongan bukan sahaja daripada hospital dan Kementerian Kesihatan tetapi juga daripada masyarakat dan NGO bersama-sama membantu memerangi Covid-19,” kata Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr Kuldip Kaur dalam video itu.

Seorang doktor perubatan yang dikenali sebagai Dr Nornadhirah juga berterima kasih kepada sukarelawan kerana membantu mempercepatkan proses pembersihan yang sepatutnya berjalan selama seminggu kepada hanya beberapa jam sahaja.

Hospital Sungai Buloh kini dijadikan pusat merawat kes Covid-19.

Tzu Chi adalah badan kebajikan bukan keuntungan yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan, perubatan, pendidikan dan kebudayaan.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 1,183 kes jangkitan dengan lapan kematian. – 22 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen