2 lagi pesakit sembuh Covid-19 dibenar pulang


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad juga berkata tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

DUA lagi pesakit disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan pulang, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Salah seorang daripada pesakit berkenaan adalah ibu mertua kepada lelaki tempatan yang dijangkiti virus itu semasa mengadakan lawatan kerja di Singapura, yang juga sudah sembuh sepenuhnya.

Pesakit kedua dibenarkan pulang hari ini adalah seorang individu yang bekerja di Macau dan menjalani rawatan di Sungai Buloh.

Ini menjadikan tujuh pesakit masih menerima rawatan, kata Dr Dzulkefly kepada pemberita hari ini.

Dr Dzulkefly juga berkata tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 di Malaysia seramai 15 orang.

Tujuh pesakit yang masih menerima rawatan pula, dua dirawat di Kedah, tiga di Hospital Kuala Lumpur dan dua di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Dzlukefly lagi, warga Amerika Syarikat penumpang kapal persiaran Westerdam yang dijangkiti Covid-19 pula, wanita berusia 83 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Suaminya yang berusia 85 tahun dan negatif virus itu dibenarkan menemani wanita itu, kata Dzulkefly.

Pasangan itu adalah antara penumpang MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari selepas beberapa negara tidak membenarkan kapal itu berlabuh kerana bimbang jangkitan Covid-19.

“Tahniah di atas kejayaan ini terutamanya pada usaha gigih semua kakitangan Kementerian Kesihatan dari peringkat atasan sehingga petugas di semua peringkat yang banyak membantu menangani wabak ini,” kata Dzulkefly.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang awam jangan mudah selesa dengan perkembangan terbaru ini.

“Saya ingin nasihatkan jangan mudah selesa kerana di Singapura kini berada di peringkat Jingga.”

Singapura mengesahkan 81 kes positif Covid-19 di republik itu.

“Orang awam diingatkan supaya terus kekal dengan amalan sebelum ini iaitu menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan air dan gunakan ‘hand sanitizer’. Bagi mereka yang bergejala seperti batuk perlu memakai topeng muka dan hidung supaya orang lain tidak dijangkiti.

“Jika anda batuk dan mengalami sesak nafas, sila dapatkan rawatan dengan segera,” katanya. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen