Rakyat Malaysia sembuh Covid-19 dibenar pulang


Ragananthini Vethasalam

Lelaki berusia 41 tahun itu dibenarkan pulang selepas didapati sembuh sepenuhnya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2020.

WARGA tempatan pertama yang disahkan positif Covid-19 dibenarkan pulang selepas didapati sembuh sepenuhnya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Lelaki berusia 41 tahun itu dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas dijangkiti virus itu ketika berada di Singapura atas urusan kerja.

“Tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesediaan Krisis Dan Tindak Balas Nasional (CPRC) hari ini,” kata Dzulkefly dalam satu kenyataan.

Ini menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di hospital 13 orang.

Sembilan pesakit daripada 22 kes Covid-19 telah dibenarkan pulang setakat ini selepas dua ujian ulangan yang dijalankan memberi keputusan negatif.

Daripada 22 kes yang disahkan di Malaysia itu, 15 pesakit adalah warga China, enam rakyat Malaysia dan Amerika Syarikat (1).

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata awal hari ini beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja Prof Mam Bunheng melalui telesidang, membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama antara dua negara dalam usaha menangani wabak Covid-19.

“Saya maklumkan kepada beliau mengenai tahap kesihatan pesakit warga Amerika Syarikat yang semakin baik. Saya juga maklumkan bahawa ujian ulangan pengesahan Covid-19 dan didapati masih positif.

“Saya dan menteri kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik,” katanya.

Dr Dzulkefly juga berkata berkata komunikasi antara International Health Regulations (IHR) Focal Point Kemboja dengan IHR Focal Point Malaysia telah berjalan sejak 14 Februari 2020, sebelum wanita AS berusia 83 tahun yang menaiki kapal persiaran MS Westerdam dikesan positif Covid-19 di negara ini.

“Kementerian Kesihatan akan bekerjasama rapat dengan semua negara yang terlibat dan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pengurusan kes Covid-19 termasuk penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat.” – 17 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen