2 lagi rakyat Malaysia korban Covid-19


Angka kematian setakat petang ini meningkat kepada 26 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

DUA lagi rakyat Malaysia meninggal dunia setelah dijangkiti Covid-19, menjadikan angka kematian setakat petang ini meningkat kepada 26 orang, umum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Awal hari ini, beliau mengumumkan kematian ke-24 iaitu pesakit yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur yang meninggal dunia malam tadi.

Kematian ke-25 ialah seorang lelaki berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. 

Beliau yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh meninggal dunia petang semalam.

Kematian ke-26 pula ialah lelaki berumur 53 tahun, yang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan meninggal dunia 10.30 pagi tadi.

“Beliau merupakan kontak rapat kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian perkembangan penularan wabak itu di Malaysia, di Putrajaya petang tadi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham melaporkan sehingga tengah hari ini, ada 130 lagi kes baharu yang dikesan, menjadikan keseluruhan 2,161 kes. 

Daripada jumlah itu, 54 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej rangsangan prihatin rakyat bagi membantu meringankan beban ekonomi rakyat, yang keseluruhannya berjumlah RM250 bilion. – 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen