Korban Covid-19 meningkat 24 orang


Seorang lagi pesakit meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 24 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

WABAK Covid-19 memakan seorang lagi korban rakyat Malaysia malam tadi, menjadikan keseluruhan mereka yang meninggal dunia setakat ini 24 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Korban yang tidak dinyatakan jantinanya berumur 35 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada awal Mac lalu.

Menurut Noor Hisham, beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac selepas mempunyai tanda-tanda jangkitan sejak lima hari sebelumnya.

“Hasil ujian pengesahan Covid-19 telah didapati positif pada 20 Mac 2020. 

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam,” katanya dalam satu makluman di Facebook.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit.”

Makluman Noor Hisham juga tidak mendedahkan punca jangkitan.

Kes positif Covid-19 di Malaysia sudah mencecah 2,031, selepas 235 lagi kes baharu dikesan, setakat tengah hari semalam.

Daripada jumlah itu, 215 kes telah sembuh sementara 1,793 kes masih aktif dan sedang dirawat.

Noor Hisham juga semalam berkata jangkitan Covid-19 dari kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling dikesan berlapis-lapis sehingga sudah masuk ke peringkat generasi kelima.

Jangkitan yang berlapis-lapis itu menyebabkan siasatan kes rumit dan memakan masa, jelasnya. – 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen