Kerajaan ini peduli rakyat, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat bersama-sama kerajaan lawan Covid-19 walaupun beliau akur kerajaan ini mungkin bukan pilihan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan melawan pandemik Covid-19 walaupun kerajaan ini bukanlah kerajaan yang mereka pilih dalam pilihan raya.

Katanya, apa yang mustahak sekarang ialah kerajaan ini sedang melakukan segala-gala yang terbaik untuk menghadapi ancaman Covid-19, yang beliau sifatkan sebagai cabaran yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

“Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang tuan puan undi. Tetapi saya mahu tuan puan tahu bahawa kerajaan ini peduli,” katanya, dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen hari ini.

Jelas Muhyiddin beliau sangat sedar bahawa beliau jadi perdana menteri bukan pada masa yang terbaik.

“Saya berdepan krisis politik, ekonomi, dan kesihatan serentak pada masa yang sama,” katanya.

Dalam ucapannya itu Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat bernilai RM250 bilion bertujuan menampung kesan ekonomi yang dihadapi oleh semua pihak ekoran penularan Covid-19.

“Kita ini sebuah negara yang sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak. 

“Apa yang kita hadapi ini tidak pernah berlaku dalam sejarah,” katanya.

Jelas Muhyiddin, masa yang sukar seperti sekarang perlu ditangani dengan cara yang tidak pernah dibuat sebelumnya.

“Jadi saudara dan saudari, anak-anak negara tercinta ini, sama ada anda Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asal, tolonglah bersabar dengan saya dan rakan-rakan dalam kabinet dan kerajaan.

“Kami tidak sempurna tetapi kami sedang melakukan yang terbaik untuk keluar dari krisis ini bersama-sama, sebagai sebuah bangsa,” katanya.

Tegas Muhyiddin, beliau yakin bangsa ini akan jadi lebih teguh selepas kemelut ini berakhir.

“Insya-Allah, saya minta sokongan daripada saudara dan saudari sekalian, marilah kita berganding bahu mengharungi krisis ini bersama-sama,” katanya.

Muhyiddin jadi perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas enam hari kemelut politik yang menyaksikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang menang pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 tumbang.

Enam hari sebelum itu, pada 24 Februari, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menarik partinya keluar daripada PH sementara sebelas ahli Parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin Ali juga keluar parti dan dipecat.

Pada hari yang sama, Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri tetapi dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Ini menyebabkan PH hilang majoriti sebagai kerajaan di Parlimen, digantikan gabungan baharu atas nama Perikatan Nasional yang diketuai oleh Muhyiddin.

Sejak jadi perdana menteri, Muhyiddin berdepan cabaran politik dari dalam gabungannya sendiri serta daripada PH.

Umno misalnya lantang mengkritik barisan Jemaah Menteri yang beliau umumkan pada 9 Mac lalu.

Namun cabaran pandemik Covid-19 ini jauh lebih besar menguji pentadbiran Muhyiddin.

Selepas mengumumkan perintah kawalan pergerakan berkuat pada 18 Mac lalu, Muhyiddin kelmarin mengumumkan lanjutan perintah itu sehingga 14 April ini.

Kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini sudah mencecah 2,031 kes, dengan 24 kematian. β€“ 27 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen