SELEPAS tiada pendapatan ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), perniagaan teksi motosikal Dego Ride kini mulai naik 20% ketika ekonomi pulih perlahan-lahan.
Pengasas Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata mereka terjejas teruk ketika PKP, dengan permintaan perkhidmatan mereka turun 90%.
“Dego Ride teruk terjejas akibat PKP, kerana pendapatan jatuh hingga sifar, tetapi keadaan lebih baik sekarang dengan penunggang dan pelanggan kini perlahan-lahan mulai kembali,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nabil berkata sejak PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac, mereka terpaksa menghentikan teksi motosikal dan fokus kepada cara lain bagi kelangsungan hidup penunggang.
“Kami tidak terhenti di situ, kami terpaksa luaskan perkhidmatan kepada penghantaran makanan dan bungkusan bagi memastikan syarikat terus mampan dan penunggang kami dapat menjana pendapatan.”
Ketika negara kini dalam PKP pemulihan, Nabil berkata mereka terus meningkatkan kapasiti penunggang bagi memenuhi permintaan.
Dego Ride ialah aplikasi perkongsian menunggang motosikal, yang menyediakan perkhidmatan teksi dan penghantaran barang.
Ia diasaskan oleh Nabil yang juga ketua pegawai eksekutif syarikat itu, pada 2015.
Ia melancarkan perkhidmatannya pada November 2016 dan mempunyai 5,000 penunggang berdaftar pada masa itu.
Nabil berkata pada masa ini, ada lebih 1,000 penunggang bekerja dengan mereka secara tetap dan separuh masa, tetapi syarikat kini mencari lebih ramai penunggang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, lebih 50% penunggang terdiri daripada golongan muda yang menyertai Dego Ride untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
“Berdasarkan apa yang kita tahu, kebanyakan mereka berada dalam industri pelancongan, hospitaliti dan minyak dan gas.
“Jumlah peserta berkembang walaupun ketika PKP, tetapi apa yang lebih penting ialah memadankan atau kesinambungan dan keseimbangan antara bekalan dan pasaran permintaan bagi teksi motosikal dan penghantaran,” kata Nabil.
Beliau berkata dalam tempoh dua bulan terakhir sejak PKP, mereka melihat ada peningkatan pendapatan 20%.
“Empat bulan pertama memang teruk, kerana kami hanya buat penghantaran makanan dan bungkusan.
“Sekarang bila perkhidmatan teksi motosikal kembali, jumlah pelanggan mulai bertambah. Tetapi kami fikir bila pandemik ini berakhir, perkhidmatan kami akan pulih sepenuhnya.”
Dego Ride mula memperkenalkan perkhidmatan mereka di tujuh stesen MRT di Lembah Klang, termasuk di Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Pavilion Bukit Bintang, Tun Razak Exchange, Cochrane dan AEON Maluri.
Nabil berkata pada masa ini fokus mereka ialah di Lembah Klang.
“Kami baru-baru ini melancarkan kempen bersama stesen MRT dengan tawaran menarik untuk memberikan jaringan lebih baik pergi dan balik stesen berkenaan.
“Kami mungkin perluaskan khidmat ke kawasan lain di Malaysia tahun depan jika keadaan ekonomi lebih baik pada masa itu,” katanya.
Dego mengenakan bayaran bermula RM3 untuk 3.5km pertama dan turut memberikan kupon promosi RM5 hingga RM7. – 19 Ogos, 2020.
Komen