ADA atau tidak perkhidmatan teksi motosikal, golongan mat rempit yang terlibat dengan lumba haram tidak akan berhenti daripada meneruskan kegiatan itu yang mereka sifatkan sebagai hobi, kata beberapa anak muda penunggang motosikal.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, dua perkara itu hal berbeza – yang satu pekerjaan untuk pendapatan sementara yang satu lagi ialah kegiatan hiburan mengisi masa lapang.
Bagaimanapun mereka mengaku terbuka untuk menceburi perkhidmatan teksi motosikal kerana ia ada kaitan dengan bidang yang mereka suka dan boleh pula menjana pendapatan.
Muhammad Syamim Latefi, 21, berkata perkhidmatan motosikal teksi satu idea yang baik tetapi ia bukan jaminan mat rempit tidak akan berlumba di jalan raya.
“Geng motor suka buat satu pekerjaan yang beri kebebasan kepada mereka.
“Sebab itu, kalau ada (teksi motosikal) pun, mereka akan tetap berlumba cuma mungkin, kadarnya menurun,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Bagan, Butterworth.
Kawasan itu merupakan tumpuan kepada golongan motor untuk berkumpul dan berlumba pada malam minggu.
Pelajar diploma institusi pendidikan awam itu menambah perkhidmatan teksi motosikal mampu jadi sumber pendapatan kepada golongan Mat Motor kerana ada dalam kalangan mereka yang berlumba haram untuk mendapatkan wang.
“Aktiviti berlumba ini ada kategori… berlumba untuk jana pendapatan dan sekadar hiburan saja.
“Sebenarnya, perkhidmatan teksi motosikal ini sangat baik, bagi peluang pekerjaan kepada mereka yang memang minat motor.
“Bagi mereka yang mencari pendapatan dengan berlumba, ini satu pilihan baik untuk mereka,” jelasnya.

Bagi seorang pelajar kulinari, Muhd Alif Aiman Mat Sobri, 19, beliau sendiri berlumba bukanlah untuk dapat habuan tetapi sekadar satu hobi.
“(Kalau ada teksi motosikal) Kami yang ada motosikal boleh buat kerja separuh masa bawa penumpang, kami pun dapat buat duit.
“Tetapi, berlumba akan tetap diteruskan, hanya sebagai hobi untuk berseronok.
“Lumba tetap lumba, mungkin kalau saya nanti sediakan sebuah motor untuk berlumba sebuah lagi untuk perkhidmatan teksi motosikal,” jelasnya.
Seorang lagi mat motor, Muhammad Aniq Ahmad Asri, 18, tidak melihat perkhidmatan teksi motosikal sebagai kaedah untuk mengurangkan aktiviti berlumba dalam kalangan belia.
Katanya, aktiviti lumba haram sukar dibendung kerana ia telah menjadi budaya sejak dulu lagi.
“Ada teksi motosikal pun, aktiviti berlumba akan tetap ada. Kalau turun pun, mungkin sikit.
“Budaya rempit ini daripada dulu, bukan baru-baru ini berlaku. Kalau generasi sekarang nak ubah, memang susahlah,” katanya yang juga merupakan seorang pelajar kolej kemahiran.
Dalam pada itu, seorang lagi remaja, Muhammad Danial Iman Mohd Rizar, 19, melihat perkhidmatan teksi motosikal berisiko tinggi kerana mudah terdedah kepada kemalangan.
Katanya, penunggang motosikal mudah berdepan risiko dilanggar kenderaan lain ataupun keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pada 21 Ogos lalu, jemaah menteri meminta Kementerian Pengangkutan menyiapkan laporan mengenai perkhidmatan teksi motosikal atas kertas cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya akan meneliti ciri keselamatan sebelum membenarkan perkhidmatan itu beroperasi.
Syed Saddiq membawa usul perkhidmatan itu ke Kabinet, dengan menjadikan Go-Jek di Indonesia sebagai contoh, untuk memastikan golongan muda tidak terpinggir selain membantu mereka menambah pendapatan. – 6 September, 2019.
Komen