Benar e-hailing motosikal bukan u-turn, kata menteri


Zaim Ibrahim

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan Kabinet benarkan khidmat e-hailing motosikal bukan tindakan pusingan U. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

KEPUTUSAN Kabinet membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan menukar keputusan terdahulu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Jelasnya, larangan awal ke atas e-hailing motosikal adalah keputusannya sendiri namun keputusan terbaharu ini dibuat secara kolektif dan tidak bergantung kepada keputusannya saja.

“Ada orang kata saya buat pusingan U. Saya ingat apa yang telah saya cakap. Betul, saya (pernah) cakap kita tidak benarkan. (Tetapi) kita dalam kerajaan buat keputusan secara kolektif.

“Setiap kementerian perlu akur dan laksanakan keputusan itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang.

Pada tahun lepas, Anthony Loke menegaskan Putrajaya tidak bercadang membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal demi melindungi keselamatan pengguna.

Pada sidang media hari ini, beliau bagaimanapun meminta agar masyarakat tidak melihat perkhidmatan e-hailing motosikal dengan pandangan negatif semata-mata.

Jelasnya, beliau melihat perkhidmatan itu mampu mengubah sikap dan minda pengguna motosikal untuk lebih berhati-hati di jalan raya.

“Kita perlu ambil cabaran daripada setiap peluang. Ini satu peluang (untuk) tukar sikap pengguna motosikal menunggang, bawa penumpang lebih bertanggungjawab.

“Ciri-ciri keselamatan pun akan diperkenalkan. Kita bukan sekadar buat keputusan dan esok terus boleh bawa motosikal (untuk perkhidmatan e-hailing),” katanya.

Tambahnya, isu keselamatan dan budaya seperti pengguna wanita membonceng motosikal ditunggang lelaki juga akan dibincangkan oleh kementeriannya.

Laporan penuh mengenai pelaksanaan perkhidmatan e-hailing motosikal itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh sebulan lagi, katanya.

Isu pengguna wanita membonceng motosikal ditunggang lelaki itu ditegur oleh Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid yang bimbang perkara itu mengundang fitnah.

Isu mengenai keperluan perkhidmatan itu juga dipersoalkan pelbagai pihak termasuk Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin.

Beliau juga mempersoalkan jika perkhidmatan itu akan menyediakan pekerjaan kemahiran tinggi dan pendapatan tinggi seperti dijamin kerajaan.

Ia susulan keputusan Kabinet pada Rabu meluluskan cadangan untuk mewujudkan khidmat penumpang motosikal seperti perkhidmatan GoJek yang popular di Indonesia.

Grab Malaysia turut menyatakan kesediaannya untuk perkhidmatan teksi motosikal.

Perkhidmatan serupa diperkenalkan syarikat Malaysia, Dego Ride sejak 2017, namun diharamkan kerajaan pada tahun itu.

Larangan pada waktu itu berdasarkan fakta bahawa penumpang dan pembonceng motosikal menjadi mangsa kemalangan maut di jalan raya paling ramai. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen