MASA depan 5,000 penunggang motosikal di bawah Dego Ride bakal lebih cerah selepas kerajaan pada dasarnya sedia memberi kelulusan kepada perkhidmatan teksi motosikal, kata pengasas aplikasi itu Nabil Feisal Bamadhaj.
Aplikasi itu pernah menawarkan perkhidmatan teksi motosikal pada akhir 2016 sebelum diharamkan atas alasan keselamatan tidak sampai setahun kemudian.
Nabil yakin penunggangnya, yang sekarang menawarkan perkhidmatan penghantaran barang dan logistik, boleh meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan apabila kerajaan memberikan kelulusan teksi motosikal beroperasi semula nanti.
Menurut Nabil, banyak penunggangnya hilang pendapatan selepas perkhidmatan itu diharamkan.
“Selepas haram, daripada 5,000 (penunggang) hanya 200 yang kekal. Nama kami juga terkesan. Jika ia diiktiraf, semua yang berdaftar akan dapat peluang pendapatan lebih.
“Kebanyakan pelanggan di Kuala Lumpur dan Bukit Bintang, dari monorel hingga ke LRT, hotel ke pejabat.
“Mereka boleh dapatkan 40 pelanggan sehari, dan mereka hanya bekerja empat jam sehari maksimum, empat hari (seminggu),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Syarikat itu juga tidak mengenakan komisen sebaliknya hanya mengambil yuran bulan daripada penunggang.

Status Dego Ride disebut-sebut selepas jemaah menteri dalam mesyuaratnya minggu lalu, atas cadangan yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluluskan secara prinsip perkhidmatan teksi motosikal.
Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan membuat kajian antaranya melibatkan aspek perundangan sebelum kerajaan akan memberi lampu hijau sepenuhnya.
Sebelum mesyuarat jemaah menteri minggu lalu, Syed Saddiq secara terbuka mendedahkan usahanya mendapatkan sokongan daripada menteri-menteri lain terhadap cadangan yang akan dibawanya yang melibatkan syarikat aplikasi sama dari Indonesia, Go-Jek.
Namun, Syed Saddiq dikritik kerana tidak mengutamakan Dego Ride, sebuah syarikat tempatan yang aplikasinya diharamkan kerajaan sebelum ini atas alasan keselamatan.
Keselamatan penunggang
Mengulas perkara itu, Nabil berkata pihaknya berhasrat mendaftarkan penunggangnya dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perlindungan insurans.
Dego Ride juga akan memperkenalkan sistem imbas cap jari penunggang demi menjamin keselamatan pelanggan, kata Nabil.
“Skim di bawah Perkeso memberi perlindungan penuh kepada para penunggang kami dan ia dapat memberi faedah kepada mereka jika ada kemalangan yang tidak diingini.
“Semua rider yang 5,000 itu kita sudah tapis betul-betul. Kita ada banyak training, periksa motosikal dan kita tidak memberi kebenaran motosikal yang telah diubahsuai (untuk beroperasi).
“Kami juga masukkan teknologi identifikasi iaitu apabila penunggang sampai di lokasi untuk ambil pelanggan, dia kena sahkan identiti melalui imbasan cap jari,” katanya.
Sementara itu, Nabil berharap kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada Dego Ride dan mengutamakan syarikat tempatan.
“Ini kerana Go-Jek dan Grab semua dapat sokongan sangat penuh daripada kerajaan. Jadi apatah lagi kami, syarikat tempatan,” katanya.
Nabil memberitahu The Malaysian Insight, beliau dimaklumkan oleh Syed Saddiq bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dalam apa juga bidang, lebih-lebih lagi yang memberi peluang kerja kepada anak muda.
Hasil pertemuan mereka semalam, Nabil berkata beliau dimaklumkan Dego Ride akan ditemukan dengan menteri pengangkutan dan agensi di bawah kementerian itu. – 27 Ogos, 2019.
Komen