PERKHIDMATAN teksi motosikal Dego Ride sempat beroperasi selama enam jam pada Khamis sebelum diarah oleh kerajaan menghentikan operasinya, kata pengasasnya Nabil Feisal Bamadhaj.
Arahan henti sementara itu datang daripada Kementerian Pengangkutan untuk memastikan operasinya nanti lancar dan selamat, katanya.
“Mereka mahu hentikan sementara sehingga kita dapat selesaikan beberapa isu mengenai bagaimana konsep dan operasi kami,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Menurut Nabil, pihaknya mendapat sambutan menggalakkan sepanjang enam jam itu.
“Sambutan sangat okay tetapi tetapi dapat beberapa jam saja. Ramai sangat bertanya dari Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang… kenapa rider tak ambik job,” katanya.
Nabil memberitahu beliau dihubungi oleh pihak kementerian pada pukul 2.30 petang Khamis, meminta perkhidmatan itu dihentikan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan mahu bekerjasama dengan Dego Ride untuk melancarkan semula perkhidmatan itu selepas ini.
“Kita tengah cari tarikh tapi belum diputuskan,” katanya.
Sebelum diharamkan pada awal 2017, aplikasi Dego Ride mempunyai lebih kurang 5,000 penunggang teksi motosikal berdaftar.
Bagaimanapun sekarang hanya 200 penunggang yang masih aktif menghantar barang dan logistik menggunakan aplikasi tersebut.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya minggu lalu, atas cadangan yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluluskan secara prinsip perkhidmatan teksi motosikal.
Kabinet mengarahkan Kementerian Pengangkutan membuat kajian antaranya melibatkan aspek perundangan sebelum kerajaan akan memberi lampu hijau sepenuhnya.
Sebelum mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu, Syed Saddiq secara terbuka mendedahkan usahanya mendapatkan sokongan daripada menteri-menteri lain terhadap cadangan yang akan dibawanya yang melibatkan syarikat aplikasi sama dari Indonesia, Go-Jek.
Namun, Syed Saddiq dikritik kerana tidak mengutamakan Dego Ride, sebuah syarikat tempatan yang aplikasinya diharamkan kerajaan sebelum ini atas alasan keselamatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan akan memastikan tiada mana-mana syarikat yang akan memonopoli pasaran.
Perkhidmatan Dego Ride yang boleh dipesan melalui aplikasi mengenakan caj RM2.50 untuk jarak 3 kilometer pertama dan 60 sen bagi setiap kilometer berikutnya. Penunggang pula hanya boleh menerima pesanan daripada penumpang yang sama jantina.
Tidak seperti perkhidmatan e-hailing Grab, Dego Ride tidak mengambil komisyen daripada setiap pesanan, sebaliknya mengenakan yuran bulanan kepada penunggang. – 31 Ogos, 2019.
Komen