PERKHIDMATAN teksi dua roda Dego Ride bergegas memenuhi garis panduan Kementerian Pengangkutan sebelum melancarkan operasi mereka tahun hadapan, kata pengasas penyedia perkhidmatan e-hailing motosikal.
Nabil Feisal Bamadhaj memberitahu The Malaysian Insight, mereka terkejut dengan persetujuan Putrajaya untuk membenarkan perhidmatan motosikal berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Putrajaya akan memberikan percubaan selama enam bulan untuk perkhidmatan motosikal beroperasi bermula Januari di Lembah Klang.
Beliau memberitahu Parlimen syarikat yang ingin mengambil bahagian dalam percubaan itu perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kami benar-benar terkejut dengan perkembangan ini dan banyak yang perlu dilakukan bagi memenuhi garis panduan Kementerian Pengangkutan untuk melancarkan semula perkhidmatan teksi motosikal.
“Apa yang penting sekarang adalah orang ramai akan dapat mengakses perkhidmatan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Loke berkata program percubaan selama enam bulan itu akan membolehkan kerajaan dan syarikat yang mengambil bahagian mengumpul data serta menilai permintaan perkhidmatan itu manakala Putrajaya berfungsi merangka undang-undang untuk mengawal perkhidmatan teksi motosikal.
Nabil berkata mereka masih belum memuktamadkan caj untuk perkhidmatannya dan akan berkongsi sebaik sahaja ia selesai.
“Sebagai rujukan kami gunakan untuk mengenakan sekurang-kurangnya RM3 untuk 3km diikuti RM1 setiap km. Kami akan kongsi sebaik sahaja ia dimuktamadkan,” katanya.
Beliau menambah mereka berharap perkhidmatan teksi motosikal dapat dilihat di jalan raya awal tahun depan dan akan membincangkan butiran “Bukti Konsep” dengan agensi-agensi berkaitan.
“Kami memerlukan butiran lebih lanjut mengenai Bukti Konsep. Kami akan bekerjasama dengan kementerian dan APAD untuk memuktamadkan perkhidmatan kami,” katanya.

Syarikat Malaysia Dego Ride yang memberi tumpuan kepada penghantaran dan logistik sebelum ini menawarkan perkhidmatan dua roda sebelum ia diharamkan pada 2017.
Syarikat itu yang mempunyai 5,000 penunggang berharap dapat memulakan semula perkhidmatan itu berikutan pengumuman Kabinet baru-baru ini bahawa perkhidmatan motosikal Go-Jek dari Indonesia akan dibenarkan masuk ke Malaysia.
Cadangan pengembangan Go-Jek dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata perkhidmatan dapat membantu golongan belia tempatan mendapatkan pekerjaan.
Syed Saddiq terdorong untuk tidak mempromosikan Dego Ride yang telah beroperasi dan perkhidmatan teksi motosikal yang diharamkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini disebabkan bimbang dengan tahap keselamatan.
Berikutan pengumuman Kabinet, Dego Ride memulakan operasinya pada Ogos tetapi hanya berlangsung selama enam jam sebelum Putrajaya mengarahkan mereka menghentikan operasi dengan alasan keselamatan.
Nabil berkata, walaupun dalam jangka masa yang singkat, perkhidmatan itu menyaksikan perniagaan yang pantas.
Beliau berkata terdapat banyak permintaan dari Johor ke Pulau Pinang dan Lembah Klang.
“Ramai juga yang bertanya mengapa perkhidmatan dihentikan,” katanya.
Penunggang teksi motosikal mesti berusia lebih dari 18 tahun dan memiliki lesen penuh.
Hanya seorang penumpang dibenarkan untuk dibawa pada satu masa.
Kenderaan mesti mempunyai tanda jelas untuk menunjukkan penunggang terlibat dalam perkhidmatan teksi motosikal sementara para penunggang juga mesti berpakaian yang menunjukkan mereka sedang beroperasi. – 6 November, 2019.
Komen