Teksi motosikal bermula Januari, kata menteri


Noel Achariam

Kabinet pada dasarnya meluluskan teksi motosikal seperti Go-Jek di Indonesia dengan perkhidmatan percubaan di Lembah Klang terlebih dahulu. – Gambar EPA,5 November, 2019.

PUTRAJAYA meluluskan perkhidmatan teks motosikal dan ia akan dikawal selia oleh peraturan dan aturan pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya kata Anthony Loke kepada Parlimen hari ini.

Menteri pengangkutan berkata perkhidmatan teksi motosikal itu akan tertakluk kepada syarat yang sama seperti dinyatakan dalam perkhidmatan e-hailing.

Beliau berkata perkhidmatan percubaan akan dibenarkan di Lembah Klang bermula Januari.

“Sebab utama kerajaan membenarkan perkhidmatan teksi motosikal ini sebagai cara meningkatkan tahap liputan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

“Perkhidmatan teksi motosikal ini akan menjadi salah satu komponen utama usaha kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang komprehensif kerana ia akan menjadi perbatuan pertama dan terakhir (first mile and last mile) dalam sistem pengangkutan,” katanya.

Loke menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mengenai bila projek perintis seperti Dego Ride dan Go-Jek akan bermula dan sama ada rangka kerja undang-undang sudah disediakan oleh pihak kementerian.

Pada September, Kabinet meluluskan cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan perkongsian perjalanan, seperti Go-Jek dari Indonesia.

Loke berkata, perkhidmatan itu kini akan dibenarkan di Lembah Klang tetapi akan dilanjutkan ke kawasan lain jika ada permintaan.

Ideanya dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk memberi peluang pekerjaan Go-Jek kepada mat motor.

Percubaan itu akan berlangsung selama enam bulan dan Kementerian Pengangkutan akan menetapkan syarat tertentu yang harus dipatuhi pengendali ketika melaksanakan proses ini, kata Loke.

Antaranya ialah pemandu mesti mempunyai lesen penuh dan berumur tidak kurang 18 tahun.

Loke berkata hanya satu penumpang dibenarkan dibawa pada satu masa dan mereka mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Kenderaan mesti mempunyai tanda jelas untuk menunjukkan penunggang terlibat dalam perkhidmatan teksi motosikal sementara para penunggang juga mesti berpakaian yang menunjukkan mereka sedang beroperasi.

Berhubung soalan Nik Nazmi mengenai langkah berjaga-jaga dan keselamatan, Loke berkata penguatkuasaan akan diteruskan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan polis.

“Untuk memastikan keselamatan para penumpang, kementerian akan bekerjasama dengan pengendali teksi motosikal.

“Semua data yang mereka kumpulkan mesti dikongsi dengan kerajaan supaya kita boleh memantau dan memastikan peraturan dan aturan diikuti.

“Kerjasama operator adalah penting untuk menjayakannya dan membina keyakinan para pelanggan dalam menggunakan perkhidmatan tersebut.” – 5 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen