Perak tangguh pembalakan di hutan Orang Asli, kata peguam


Diyana Ibrahim

Laluan pembalakan dapat dilihat di Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

KERAJAAN negeri Perak menangguhkan sementara aktiviti pembalakan di kawasan Orang Asli di Hutan Simpan Air Chepam, di Hulu Perak sementara perbincangan lanjut mengenainya dibuat, kata peguam David Gurupatham.

Gurupatham yang mewakili penduduk Orang Asli Temiar di kawasan itu berkata pihaknya menerima notis penangguhan itu kelmarin, selepas mereka mengumumkan hasrat membawa isu itu ke mahkamah.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya bagaimanapun akan meneruskan tindakan mahkamah memohon perisytiharan hak tanah adat Orang Asli walaupun kerja-kerja pembalakan yang bermula sejak minggu lalu dihentikan.

“Biarpun ada penangguhan kita tetap akan memfaikan satu deklarasi di mahkamah sivil untuk hak Orang Asli ke atas tanah nenek moyang mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, pihaknya menerima notis penangguhan aktiviti pembalakan daripada Jabatan Perhutanan Perak selepas mereka bercadang membuat permohonan injunksi untuk melindungi sekatan yang dibuat oleh Orang Asli Temiar di hutan simpan itu dari dirobohkan.

“Dalam perbincangan dengan semua pihak (pada Rabu) Jabatan Perhutanan telah serahkan surat penangguhan aktiviti pembalakan,” tambahnya.

Sesalinan surat itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight menyebut arahan tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Perak pada Selasa.

Orang Asli Temiar di Hutan Simpan Air Chepam membuat sekatan bagi menghalang pencerobohan pembalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

Semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengarahkan semua kegiatan pembalakan di kawasan itu dihentikan serta merta.

Ahmad Faizal sekali lagi menerajui kerajaan negeri selepas diambil alih oleh Perikatan Nasional melalui percaturan kerusi pada Mac lalu.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan pembalak dari syarikat yang sama sebelum ini sudah kembali ke kawasan yang dipertikaikan statusnya itu, selepas pentadbiran negeri bertukar kerajaan itu.

Menurut Gurupatham, pihaknya mendapat arahan untuk memfailkan tindakan mahkamah berkenaan pada minggu ini.

Injunksi itu antara lain memohon perintah larangan ke atas pembalak daripada memasuki tanah berkenaan sehingga satu keputusan mengenai status pemilikannya ditentukan oleh mahkamah.

Pada pertengahan tahun lalu, Orang Asli Temiar di kawasan hutan simpan di Hulu Perak membuat sekatan dan bantahan selepas mendakwa pembalak menceroboh tanah adat seluar 42 hektar.

Enam penduduk Orang Asli Temiar ditahan untuk siasatan ketika itu. Seorang wartawan asing turut ditahan berasingan tetapi dilepaskan beberapa jam kemudian.

Jabatan Perhutanan Perak ketika itu berkata syarikat pembalakan berkenaan memiliki permit membalak manakala sekatan yang dibina oleh penduduk adalah di atas tanah milik Felda.

Dalam pada itu, Gurupatham berkata pihaknya juga bersedia memberikan khidmat guaman kepada tiga Orang Asli Temiar yang ditahan polis tahun lepas, sekiranya pihak berkuasa meneruskan tindakan jenayah terhadap mereka.

“Kes tiga orang Asli itu kes jenayah. Mereka ditahan dan dibawa ke mahkamah tetapi dilepaskan tanpa ada tindakan dan masih lagi dalam kes polis,” katanya. – 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen