Pembalak datang balik, kata Orang Asli di Hulu Perak


Diyana Ibrahim

Sekatan dibina di kampung Orang Asli Temiar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak bagi menghalang pencerobohan pembalak. – Gambar The Malaysian Insight. 18 Jun, 2020.

PEMBALAK kini kembali menceroboh tanah adat Orang Asli Temiar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak selepas pentadbiran negeri bertukar kerajaan, kata penduduk kampung dan aktivis.

Semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengarahkan semua kegiatan pembalakan di kawasan itu dihentikan serta merta.

Faizal sekali lagi menerajui kerajaan negeri selepas diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN) melalui percaturan kerusi pada Mac lalu.

Wakil penduduk Kampung Sungai Papan, Ajang Aleuj berkata hanya dua hari lalu, pembalak daripada syarikat sama yang cuba menceroboh kawasan tanah adat itu tahun lepas membawa tiga jentera.

Katanya, mereka sudah membina sekatan di kawasan tanah adat itu bagi menghalang pembalak.

“Mereka masuk dan keluar. Kami sudah buat sekatan untuk halang mereka.

“Ini syarikat yang sama tahun lepas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tahun lepas, Orang Asli Temiar ini mendakwa pembalak menceroboh tanah adat seluar 42 hektar, dan mereka ketika itu membuat sekatan dan bantahan.

Enam penduduk Orang Asli Temiar ditahan untuk siasatan ketika itu.

Seorang wartawan asing turut ditahan berasingan tetapi dilepaskan beberapa jam kemudian.

Orang Asli Temiar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak dakwa pembalak datang lagi menceroboh tanah adat mereka selepas pentadbiran negeri bertukar kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight. 18 Jun, 2020.

Jabatan Perhutanan Perak ketika itu berkata syarikat pembalakan berkenaan memiliki permit membalak manakala sekatan yang dibina oleh penduduk adalah di atas tanah milik Felda.

Episod penentangan masyarakat Orang Asli Temiar di Hulu Perak ini sempat menarik perhatian ramai selepas Faizal dilapor mendakwa Orang Asli di Perak tiada hak ke atas tanah adat kerana status tanah sedemikian tiada dalam undang-undang tubuh negeri.

Kenyataannya mencetuskan kontroversi dan dikritik oleh pelbagai pihaknya antaranya aktivis dan persatuan Orang Asli, Badan Peguam Malaysia dan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pada 1 Ogos tahun lalu, Faizal mengeluarkan arahan memberhentikan semua kegiatan pembalakan di kawasan itu selepas perbincangannya dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dan peguam negara Tommy Thomas pada masa itu.

“Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri memandang serius hak masyarakat Orang Asli,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Pada Mac lalu, Faizal letak jawatan menteri besar sehari selepas mengumumkan kerajaan PH pimpinannya runtuh, digantikan gabungan PN.

Tiga wakil rakyat PH dari DAP dan Amanah pada masa itu turut mengumumkan keluar parti dan menyokong PN.

PN mempunyai 32 wakil di Dewan Undangan Negeri Perak, sementara PH tinggal 24 wakil.

Tidak sampai seminggu selepas peralihan kuasa itu, Putrajaya mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi membendung pandemik Covid-19.

Menurut Anjang, beliau kesal pembalak mengambil kesempatan atas sekatan yang dikenakan untuk mencegah penularan penyakit serta pertukaran kerajaan untuk kembali menceroboh hutan mereka. – 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen