Orang Asli Temiar bertekad lawan tetap lawan


Diyana Ibrahim

Tindakan roboh sekatan atau ditahan sama sekali tidak menggoyahkan semangat Orang Asli dalam pertahan tanah adat mereka daripada diceroboh pembalak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

ORANG Asli Temiar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak sama sekali tidak akan berundur daripada mempertahankan tanah adat mereka walaupun ada antara mereka yang ditahan dan sekatan yang mereka bangunkan diroboh berulang kali.

Wakil penduduk Kampung Sungai Papan, Ajang Aleuj berkata mereka sudah bertekad biar berapa kali pun sekatan itu dimusnahkan, mereka akan bangkit membuat sekatan baru untuk melindungi tanah adat daripada diceroboh.

“Tangkaplah kami banyak mana pun, robohkanlah sekatan kami… kami tetap akan bina balik.

“Selagi pembalak tidak keluar dan isu ini tidak selesai, selagi itulah kami akan bina semula sekatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Mahkamah Majistret Gerik membenarkan tiga lelaki Orang Asli Temiar ditahan reman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan kerana membuat sekatan bagi menghalang pembalak masuk ke Kampung Sungai Papan.

Tiga hari sebelumnya, pada Ahad, polis menahan tiga lelaki Orang Asli Temiar dan dibebaskan pada hari sama selepas mengambil keterangan mereka.

Menurut Ajang, tindakan polis menahan rakan-rakannya minggu ini langsung tidak menakutkan mereka.

“Mereka ingat bila mereka tangkap kita, kita akan berhenti (bina sekatan). Tidak… kita tidak takut.

“Apa yang kita buat ialah mempertahankan hak kita sebagai Orang Asli, tanah adat yang kita warisi dari zaman nenek moyang,” katanya.

Ajang, 30, yang juga setiausaha Jaringan Orang Asal Semalaysia (Joas) Gerik, berhasrat mengadu nasib tentang pencerobohan ke atas tanah adat mereka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, pihaknya mahu menyerahkan memorandum kepada Tuanku dan perkara itu akan diputuskan selepas tiga rakan mereka dibebaskan hari ini.

“Buat masa ini fokus kita ialah bebaskan mereka yang ditahan dan kita tak akan pergi ke mana-mana, keluar dari tanah adat.

“Selepas selesai semua, baru kita bincang semula,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Jelmol, Fauzi Bani berkata beliau datang ke Kampung Sungai Papan sejak minggu lalu untuk memberi sokongan kepada penduduk terlibat.

Katanya, solidariti Orang Asli Hulu Perak dan Sungai Siput Utara sangat utuh.

“Kalau ikut tanah adat, kampung kita bersebelah. Jadi, kami sangat rapat. Kalau ada acara, atau hal begini (sekatan) memang kami datang.

“Apabila Jabatan Perhutanan dan polis kata yang kena tangkap bukan orang Kampung Sungai Papan, sebenarnya mereka tidak faham solidariti kami bagaimana,” katanya.

Beliau ditemui ketika berhimpun bersama puluhan Orang Asli Temiar di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, malam kelmarin.

Menurut Fauzi, ini kali pertama Orang Asli Temiar ditahan agak lama kerana membina sekatan.

“Mungkin mereka nak takutkan kita… tak nak kita bina lagi sekatan,” katanya.

Perhimpunan itu turut disertai penduduk dari Kampung Cunnex, Kampung Ong Jelmol, Kampung Sungai Leyef dan Kampung Pos Piah.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa yang mengesahkan tiga yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang.

Peguam yang mewakili Orang Asli, Thiyagu Ganesan berkata mereka disiasat kerana menghalang pembalak menceroboh tanah adat.

“Mereka percaya tanah itu hak mereka dan mereka melindungi tanah mereka,” kata peguam itu.

Orang Asli Temiar mendakwa pembalak menceroboh tanah adat yang didaftarkan atas nama Ong Kansel.

Selasa lalu, Jabatan Perhutanan menafikan pembalak mencerobohi tanah adat Orang Asli.

Jabatan Perhutanan dalam satu kenyataan berkata syarikat pembalak terlibat mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk meneroka tanah dekat Hutan Simpan Ulu Chepam.

Wakil penduduk Kampung Sungai Papan, Anjang Aleuj berkata mereka sudah bertekad untuk melindungi tanah adat daripada diceroboh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

Dalam pada itu, Anjang mengkritik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang didakwanya tidak membantu memperjuangkan isu tanah adat.

Jakoa sepatutnya mengeluarkan pemetaan tanah adat Orang Asli namun itu tidak ia lakukan, katanya.

Kegagalan Jakoa memaksa penduduk Kampung Sungai Papan, yang dihuni 86 orang, memetakan tanah adat atas inisiatif sendiri.

“Kita minta Jakoa tetapi Jakoa tidak bagi pada kita, jadi pada 2016, AJK Kampung Sungai Papan buat pemetaan sendiri,” katanya.

Katanya, kaedah pemetaan yang dilakukan Orang Asli bukan dibuat sembrono sebaliknya berdasarkan kajian teliti dan mengikut pengesan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

“Kita ikut pensempadanan wilayah antara lima kampung yang berjiran.

“Bagi tanah adat, kita bahagikan untuk tanah pemburuan, pengumpulan hasil hutan, kawasan rayau, pertanian, kawasan sejarah, tapak kubur lama. Jadi itu yang dimaksudkan dengan tanah adat,” jelasnya.

Tambah Anjang, pengukuran tanah adat juga mengambil kira apa yang termaktub secara tradisi daripada nenek moyang mereka sejak sebelum merdeka.

“Tanah ini kita ikut sejak zaman nenek moyang, memang tanah ini asal nenek moyang kami selama beratus tahun,” katanya.

Pada masa sama, Anjang berkata mereka juga melakukan dokumentasi menyenaraikan flora dan fauna tanah adat kami.

“Sebenarnya cara pemetaan kami untuk dokumentasi sama dengan Jabatan Perhutanan, cuma kami lakukan sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, apabila mereka membawa pemetaan tanah adat kepada Jakoa, reaksi agensi itu amat mengecewakan, katanya.

“Mereka kata kami ambil terlalu ambil banyak tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Anjang menafikan kenyataan jabatan itu yang mendakwa sekatan Orang Asli dibuat di atas tanah Felda.

“Kami tak masuk tanah Felda tapi Felda yang ambil tanah kami,” katanya. – 25 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen