AHMAD Faizal Azumu sekali lagi dinamakan sebagai menteri besar Perak, yang akan menerajui kerajaan baharu di bawah gabungan Perikatan Nasional, susulan peralihan politik pada akhir Februari lalu.
Pemilihan Faizal diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Abd Rahim Mohamad, selepas mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Katanya, Sultan Perak yakin Faizal yang juga Adun Chenderiang mendapat kepercayaan penuh anggota Dewan Undangan Negeri Perak.
“Baginda menetapkan (hari ini) jam 3.30 petang untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Perak,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Perikatan Nasional menyerahkan tiga nama, masing-masing seorang dari Bersatu, Umno, dan PAS, tiga parti yang membentuk gabungan itu.
Selain Faizal, dua lagi ialah Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad (Adun Kota Tampan), Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (Adun Gunung Semanggol).
Faizal semalam juga berkata ketiga-tiga mereka sudah sepakat menyokong siapa saja yang diperkenankan oleh Tuanku sebagai menteri besar Perak yang baharu.
“Kami bertiga menasihati semua rakyat agar bersabar, bertenang sambil menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Sultan Perak berkenaan dengan menteri besar Perak ke-13,” katanya.
Pada Selasa lepas, Sultan Nazrin menerima peletakan jawatan Faizal sebagai menteri besar, sehari selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan pimpinannya runtuh diganti Perikatan Nasional.
Gabungan itu mempunyai 32 wakil di Dewan Undangan Negeri Perak, sementara Pakatan Harapan tinggal 24 wakil.
Perikatan Nasional di Perak terdiri daripada 25 Umno, PAS 3 dan Bersatu 4.
Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari dari PKR dan Adun Tualang Sekah Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang sebelum ini wakil rakyat bebas pada Selasa turut diisytiharkan menyertai Bersatu.
Pada hari sama, tiga Adun PH mengumumkan keluar parti masing-masing iaitu Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dari Amanah.
Mereka jadi wakil rakyat bebas tetapi menyokong Perikatan Nasional.
Mereka juga sudah dipecat dari DAP dan Amanah.– 13 Mac, 2020.
Komen