100 hari Muhyiddin bertahan di puncak kuasa


Chan Kok Leong

Pentadbiran Muhyiddin Yassin kini berdepan ujian getir untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi pasca Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

APABILA Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tampil mengumumkan pelan pemulihan ekonomi Perikatan Nasional secara langsung di kaca TV Jumaat lepas, pengguna media sosial menyedari betapa beliau kelihatan penat dan tidak bermaya.

Hanya empat hari sebelum genap 100 hari berkuasa di Putrajaya, ini adalah kali ke-15 beliau tampil memberikan ucapan sejak menjadi perdana menteri ke-8 Malaysia pada 1 Mac lalu.

Walaupun Muhyiddin hanya mengadakan satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya pada 11 Mac, politik negara memang memberi kesan kepada pemimpin berusia 73 tahun bekas pesakit kanser pankreas itu.

Malah, aktiviti pada Khamis lepas apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Bersatu juga nampaknya memberi kesan kepadanya.

Mesyuarat itu adalah untuk memuktamadkan pemecatan tiga pengasas dan pemegang jawatan parti itu iaitu Pengerusi Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dua lagi yang turut dipecat ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Kesemua lima pemimpin itu juga adalah ahli Parlimen mewakili kawasan Langkawi, Jerlun, Muar, Simpang Renggam dan Kubang Pasu.

Pada hari sama, beliau turut menyaksikan bekas setiausaha politiknya dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Salleh meletak jawatan selaku timbalan menteri kerja raya.

Namun ada sedikit kelegaan untuk Muhyiddin sebelum hari Khamis berakhir apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Yusof mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan walaupun khabar angin mengenainya bertiup kencang.

Kerajaan Muhyiddin Yassin akan terus berdepan cabaran keabsahan pentadbiran yang digerakkan tokoh politik utama negara, Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

Sejak memegang tampuk pentadbiran Putrajaya pada 1 Mac lalu dengan bantuan Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan sokongan beberapa ahli Parlimen dari Sabah, sokongan 222 ahli Parlimen terhadapnya nampaknya semakin goyah.

Mengikut perkiraan semasa berdasarkan kedudukan kerusi pada sidang Parlimen 18 Mei lalu, jumlah sokongan diterimanya sekarang adalah 114 kerusi, jumlah itupun berubah minggu demi minggu.

Perkembangan terkini bagaimanapun menyaksikan kerajaan Muhyiddin kini disokong 115 ahli Parlimen selepas Jugah Muyang (Lubok Antu) daripada PKR memutuskan untuk menyokong PN pada Jumaat. Tetapi, pembangkang Pakatan Harapan yang berterusan mencabar sokongan kepada PN menjangkakan jumlah itu akan terus berubah.

Sehingga sekarang, sokongan terhadap Muhyiddin belum diuji dalam Parlimen, memandangkan sidang 18 Mei lalu hanyalah untuk mendengar titah Diraja dan memenuhi tuntutan Perlembagaan.

Keabsahan pentadbiran

Cabaran terbesar Muhyiddin adalah untuk terus kekal menjadi perdana menteri dan memastikan ahli Parlimen yang menyokongnya tidak berubah pendirian dan menyertai PH, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya.

“Cara populisnya dengan melantik ahli Parlimen mengetuai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan memberikan mereka kedudukan dalam Kabinet hanyalah langkah sementara menghalang jurang  sokongan terus melebar,” kata pakar Pengajian Melayu itu.

“Tetapi, ini menyebabkan beliau dituduh membeli sokongan. PH juga boleh buat perkara sama jika mahu kembali berkuasa secepat mungkin.

“Ini menunjukkan PN tidak stabil dan tindakan menawarkan jawatan untuk mendapatkan sokongan tidak akan dapat bertahan lama,” kata Awang Azman lagi.

Masa depan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang bergantung kepada perjanjian dengan dua lagi parti Melayu terbesar Malaysia, Umno yang mengetuai Barisan Nasional dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

Bekas senator Khairul Azwan Harun pula percaya majoriti tipis dipegang Muhyiddin tidak banyak membantu.

“Beliau perlu pulangkan semula mandat kepada pengundi secepat mungkin,” kata bekas timbalan ketua Pemuda Umno yang kini jadi penganalisis politik itu.

“Saya menjangkakan pilihan raya baharu tahun ini. Malah mungkin akan diadakan sebelum pembentangan belanjawan seterusnya,” kata Khairul.

Pengarah Merdeka Centre Ibrahim Suffian pada seminar web anjuran Institut Yusof Ishak pada Jumaat lalu berpandangan serupa, berkata kerajaan semasa bakal berdepan masalah besar meluluskan rang undang-undang di Parlimen kerana isu majoriti tipis.

“Semua ahli Parlimen kerajaan akan sentiasa berada di kerusi masing-masing sepanjang masa kerana majoriti tipis PN. Kerajaan perlu memastikan kehadiran penuh jika mereka mahu luluskan sebarang rang undang-undang,” kata pakar kajian politik itu.

Tambahnya, pilihanraya baharu juga bukanlah perkara mudah kecuali Muhyiddin berjaya mencapai persetujuan dalam isu pertindihan kerusi antara Bersatu dan dua lagi parti Melayu, Umno dan PAS.

Cabaran wabak dan ekonomi

Dalam kelam kabut krisis politik negara, kerajaan Muhyiddin berjaya meraih kelebihan dengan caranya menangani wabak Covid-19.

Kajian dijalankan Merdeka Centre pada Februari dan Mac lalu menunjukkan 7 daripada 10 rakyat Malaysia berpuas hati dengan usaha pencegahan penularan wabak Covid-19.

Menurut kajian itu, kadar kepuasan hati rakyat terhadap Kementerian Kesihatan adalah 86% berbanding kerajaan (79%). Tetapi, 61% rakyat melaporkan tidak puas hati terhadap Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Khairul berkata Muhyiddin berjaya dalam aspek mengekalkan kualiti kehidupan sepanjang 12 hari perintah kawalan pergerakan yang bermula pada 18 Mac.

“Beliau juga memastikan masalah dalaman parti tidak menjejaskan pengurusan krisis Covid-19,” kata Khairul.

Rakyat Malaysia sedang memerhati usaha Perikatan Nasional mengemudi ekonomi negara yang terjejas teruk kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2020.

Tetapi, kualiti kehidupan ketika PKP berbeza dengan usaha menggerakkan semula ekonomi yang terjejas teruk, kata Awang Azman.

“Muhyiddin sekarang bakal berdepan masalah pembuangan besar-besaran pekerja, penutupan atau pengecilan perniagaan dan peningkatan harga (produk dan perkhidmatan).

“Jika beliau boleh meminimumkan kesan atau memulihkan semula ekonomi dengan cepat, Muhyiddin akan dianggap sebagai penyelamat dan berpeluang cerah dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Dr Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula berkata kejayaan Muhyiddin mengekang Covid-19 dan mengurangkan kesannya kepada ekonomi banyak membantu PN.

“Tetapi, bolehkah beliau memulihkan ekonomi yang sekarang berdepan dengan kelembapan ekonomi global?

“Cabaran terbesarnya juga adalah bagaimana terus menyatukan PN dan mempunyai sokongan ahli Parlimen secukupnya,” kata Azmil.

Muhyiddin sekarang berdepan dua kemungkinan; diangkat sebagai penyelamat ketika negara berdepan krisis antara tergetir pernah berlaku atau gugur sebagai perdana menteri paling singkat mentadbir dalam sejarah Malaysia. – 8 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen